MELAKA: Kira-kira 100 kanak-kanak dan remaja di kawasan Kampung Pengkalan Batu di sini, menyahut cabaran menunaikan solat Subuh selama 40 hari di masjid yang menawarkan habuan 20 buah basikal kepada yang berjaya melakukannya.
Program Subuh Istiqamah 40 Hari itu dianjurkan Masjid Nur As-Sa’aadah bermula 9 Februari sehingga 20 Mac ini.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, seorang peserta, Muhd. Aiman Sharul Azwan, 10, berkata, dia bangun seawal pukul lima pagi bersiap-siap memakai uniform sekolah sebelum ke masjid bagi menunaikan solat Subuh.
Dia yang hadir sebanyak lapan kali berturut-turut bagaimanapun memberitahu, penyertaannya itu adalah pengorbanan yang dilakukan untuk dua rakan sekolahnya.
“Saya dah ada basikal, kalau dapat basikal dari masjid ini, saya nak hadiahkan kepada dua kawan baik yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Berendam 2.
“Mereka duduk di Bertam Ulu jauh sikit nak datang untuk menyertai program ini, jadi saya nak cuba dapatkan untuk mereka sebagai tanda persahabatan kami,” katanya.
Dalam pada itu, bagi Muhammad Amirullah Faezal, 15, dan Muhamad Darwisy Daniel Mohd. Shari, 14, pula, selain tertarik dengan hadiah yang ditawarkan, rutin solat Subuh berjemaah bersama rakan-rakan disifatkan lebih menyeronokkan.
“Selalu solat jemaah dengan kawan-kawan pada hari Jumaat sahaja tetapi sekarang kami semua berkumpul di masjid pada waktu Subuh setiap hari untuk solat bersama-sama,” kata Muhamad Darwisy Daniel.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Nur As-Sa’aadah, Datuk Amzah Osman berkata, program itu dilaksanakan bagi mengimarahkan masjid, di samping memupuk minat penduduk untuk solat Subuh berjemaah pada usia muda.
“Saya baharu sahaja dilantik menjadi pengerusi masjid ini pada 1 Februari lalu dan terfikir bagaimana cara untuk mengimarahkan waktu solat Subuh.
“Jadi atas nasihat Imam 1 dan Imam 2 serta ahli jawatan kuasa lain, kami rasa lebih baik kita lenturkan sifat ini daripada rebung, daripada peringkat kanak-kanak dan kerana itulah kita menganjurkan program ini,” katanya.
Jelasnya, program itu bagaimanapun tidak menggunakan wang tabung yang disumbangkan jemaah kepada pihak masjid, sebaliknya ia adalah sedekah diterima daripada ahli keluarga serta kenalannya.
“Alhamdulillah, setakat ini seramai 100 kanak-kanak menyertai program ini dan setiap kehadiran akan mendapat cap di kad diberikan untuk pengesahan.
“Hadiah untuk mereka yang berjaya adalah sebuah basikal dan keseluruhan kini kita mempunyai 20 buah basikal bernilai RM20,000 yang disumbangkan secara peribadi oleh ahli keluarga serta kenalan,” jelasnya. – UTUSAN