KUALA TERENGGANU: Seramai 389 pelancong termasuk 28 kanak-kanak terkandas di Pulau Perhentian susulan keadaan cuaca buruk, sejak kelmarin.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Resort dan Pelancongan Pulau Perhentian, Abdul Aziz Che Abdullah berkata, kesemua mereka menginap di 19 penginapan di pulau peranginan itu.
“Alhamdulillah, hari ini hujan sudah reda dan keadaan ombak tidak sebesar, semalam.
“Bagaimanapun, operasi bot-bot belum dibenarkan lagi untuk membawa mereka keluar dan kita menunggu makluman terkini daripada pihak Jabatan Laut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan operasi bot-bot pelancongan di pulau peranginan di negeri ini dihentikan buat sementara hingga esok berikutan keadaan angin kencang dan laut bergelora.
Langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan nyawa pelancong di samping kru bot terjamin.
Penangguhan operasi itu turut menyebabkan kalangan pelancong di samping pekerja terkandas tidak dapat keluar dan masuk ke pulau-pulau peranginan buat sementara waktu. – UTUSAN