JASIN: Polis Kontinjen Melaka menghantar seramai 308 pegawai dan anggota ke Johor bagi membantu pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 12 Mac ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, aset sokongan akan digerakkan secara berperingkat mengikut keperluan Kontinjen Johor dan pihaknya juga telah bersiap sedia dengan aset simpanan seramai 70 orang sekiranya keadaan memerlukan.
“Kontinjen Melaka memang bantu pasukan Johor sepenuhnya dari segi sumber manusia dan setakat ini seramai 308 pegawai serta anggota telah dihantar ke sana. Kita juga bersedia untuk tambah lebih kurang 70 anggota jika diperlukan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan perasmian Balai Polis Bemban di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga memberi sokongan dengan berkongsi pengalaman penguatkuasaan diguna pakai dalam pelaksanaan PRN Melaka pada 20 November tahun lalu.
“Kita juga kongsikan pengalaman PRN Melaka supaya semua kelemahan dan pembaikan yang kita buat pada pilihan raya dapat dimanfaatkan di Johor. Saya harapkan PRN Johor itu dapat dilaksanakan dengan lebih baik, itu hasrat kita,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh PRN Johor bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). – UTUSAN