BETONG: Kira-kira 249,000 orang penduduk Sarawak setakat ini masih belum menerima suntikan dos penggalak Covid-19.
Justeru, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menggesa mereka terbabit menggunakan sepenuhnya peluang yang diberikan oleh kerajaan supaya mengambil suntikan tersebut.
“Dos penggalak adalah sangat penting untuk melindungi diri kerana ia boleh menguatkan semula dos vaksinasi berganda anda,” kata Douglas yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC).
Katanya, setakat semalam jabatan kesihatan negeri berkata kira-kira 86.3 peratus penduduk negeri ini telah memperoleh dos penggalak.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan tiga tahun sekali Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan kecil Kampung Tengah Spaoh di balai raya di sini hari ini.
Tambah Uggah lagi, dia turut menyeru semua untuk terus mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Uggah turut mengungatkan bahawa varian Omicron semasa sangat mudah ditularkan.
Katanya, hari ini Sarawak mencatatkan 476 kes berbanding 483 kes semalam.
Sementara itu, Douglas turut berterima kasih kepada pengundi di sini atas sokongan penuh mereka kepada beliau pada pilihan raya negeri yang lepas. UTUSAN