22.2.22, JPN Putrajaya daftarkan 60 pasangan perkahwinan sivil - Utusan Malaysia

22.2.22, JPN Putrajaya daftarkan 60 pasangan perkahwinan sivil

KETUA Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh (tiga dari kanan) menyerahkan sijil perkahwinan kepada pasangan Sakda Duangdean Poon Nam, 29, dan isteri, Arisa Ah Tid, 26, di hadapan kek dihiasi dengan nombor 22 Februari 2022 di Putrajaya semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sempena tarikh istimewa 22.2.22 semalam, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendaftarkan seramai 60 pasangan sivil dalam kalangan bukan Islam.

Memberitahu Utusan Malaysia, JPN berkata, pihaknya mengadakan satu majlis khas di ibu pejabat jabatan itu bagi meraikan pasangan yang memilih tarikh istimewa tersebut, pada masa sama mempromosi fungsi dan peranan jabatan dalam pendaftaran perkahwinan sivil di negara ini.

Bagaimanapun katanya, pendaftaran pasangan dibuat mengikut jadual dan giliran yang ditetapkan sepanjang hari dan JPN sentiasa memastikan SOP yang berkuat kuasa dipatuhi.

Majlis perkahwinan sivil pada tarikh istimewa julung kali diadakan pada 12.12.12 di JPN Putrajaya melibatkan 114 pasangan.

“Memandangkan 22.2.22 juga merupakan tarikh istimewa dan melambangkan sedekad berlalu, Bahagian Perkahwinan dan Perceraian (BKC) JPN Putrajaya mengadakan majlis serupa bagi mempromosi pendaftaran perkahwinan sivil serta mengeratkan perhubungan antara Jabatan ini dengan pelanggan,” katanya di sini semalam.

Menurut JPN, program itu menyokong konsep Keluarga Malaysia berteraskan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Katanya, penganjuran program seumpama itu pada permulaan 2022 menunjukkan komitmen jabatan tersebut menyokong aspirasi kerajaan dan program-program yang akan datang turut mendokong aspirasi sama.

Mengulas lanjut berhubung perkahwinan sivil, JPN berkata, pihaknya hanya mendaftarkan perkahwinan orang bukan Islam di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164].

Antara syarat permohonan pendaftaran perkahwinan sivil ialah pemohon dikehendaki hadir ke kaunter JPN atau di Pejabat Perwakilan Malaysia di Luar Negara untuk mengemukakan permohonan pendaftaran perkahwinan.

Upacara perkahwinan dilaksanakan selepas tamat 21 hari dan tidak lebih daripada tempoh enam bulan daripada tarikh permohonan diterima, manakala bagi permohonan tamat tempoh enam bulan perlu mengemukakan permohonan semula.

Tempat permohonan adalah berdasarkan kepada daerah alamat yang tercatat dalam MyKad manakala tempat pengupacaraan perkahwinan, pemohon boleh memilih di mana-mana Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara yang dikehendaki.

Maklumat lanjut layari www.jpn.gov.my/perkhidmatan/perkahwinan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN