SEREMBAN: Seramai 19 orang penjawat awam di Negeri Sembilan yang tidak mengambil vaksin Covid-19 telah diarahkan kembali bekerja seperti biasa di pejabat bermula minggu ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebelum ini mereka yang tidak divaksin daripada 13 jabatan itu hanya bekerja dari rumah.
“Sebanyak 0.5 peratus lagi penjawat awam di negeri ini tidak menerima vaksin atas pelbagai faktor antaranya sembilan orang atas faktor kesihatan, dua orang baru menerima dos pertama dan seorang belum menerima tarikh janji temu.
“Seramai 19 orang lagi tidak berhasrat untuk menerima vaksinasi dan sebelum ini, mereka telah diarahkan untuk melaksanakan tugas lebih ringan dan tidak bertemu rakan setugas lain.
“Bagaimanapun, ia mengganggu urusan pentadbiran dan pengoperasian, jadi bermula minggu ini mereka perlu hadir dan bertanggungjawab atas diri sendiri bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 ketika bertugas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, di sini hari ini.
Menurut Aminuddin lagi, setakat ini, status vaksinasi penjawat awam di bawah pentadbiran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan telah mencapai 99.5 peratus iaitu 6,583 orang yang telah lengkap menerima dua dos vaksinasi.
Tambah beliau, sehingga semalam, seramai 675 orang penjawat awam di negeri ini telah menerima dos penggalak manakala seramai 85 orang telah menolak dos penggalak dan 137 orang lagi dalam pertimbangan untuk menerima dos penggalak. – UTUSAN