GEORGETOWN: Sejauh mana kebersihan dan keselamatan makanan khususnya dikeluarkan dari kilang-kilang makanan diambil majoriti pengguna setiap hari?
Lebih utama bagi umat Islam, apakah jaminan makanan tersebut benar-benar halal dan disediakan mengikut syariat?
Persoalan itu berbangkit rentetan banyak kilang pemprosesan serta premis makanan yang diserbu Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Pulau Pinang didapati mengabaikan aspek-aspek kebersihan serta kualiti makanan dalam penyediaan makanan mereka.
Situasi seperti penemuan najis tikus, lalat dan benda asing; tempat penyediaan makanan yang kotor dan berhampiran tandas; meletakkan bahan asas makanan di atas lantai tanpa ditutup, malah ada bekas penyediaan makanan yang berulat sudah menjadi kesalahan biasa yang dilakukan premis kilang makanan.
Di Pulau Pinang misalnya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 150 serbuan dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan negeri ke atas premis-premis makanan di seluruh negeri ini.
Apa yang mengejutkan, kesemua 150 serbuan itu menghasilkan kes dengan kesalahan utama yang sering dihasilkan oleh pemilik premis atau pengusaha adalah pengabaian dari aspek kebersihan.
Selain itu, menurut Ketua Unit Penguatkuasaan (BKKM) Jabatan Kesihatan negeri, Mohd. Wazir Khalid, pemilik premis didapati tidak menyuntik pekerja mereka yang majoritinya warga asing dengan suntikan typhoid sekali gus mendedahkan para pengguna kepada risiko pelbagai penyakit berjangkit.
“Kesalahan lain yang biasa diambil mudah namun mendedahkan risiko risiko kesihatan kepada pengguna termasuk menyimpan makanan di tempat tidak sepatutnya dan tidak memakai pakaian yang sesuai seperti apron dan penutup kepala dan ketika menyediakan makanan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Mohd. Wazir, apa yang membimbangkan adalah pemantauan pihaknya mendapati lebih 30 peratus pemilik premis didapati melakukan kesalahan berulang walaupun pernah diserbu berulang kali.
Antara alasan yang sering dikemukakan, katanya, pemilik mendakwa tidak sempat membersihkan premis kerana tidak cukup masa dan kononnya mahu membuang atau melupuskan produk yang rosak.
Sedangkan, jelasnya, antara punca utama pemilik premis melakukan kesalahan berulang tersebut disebabkan sikap sambil lewa yang tidak mementingkan kebersihan dan nyawa pengguna.
“Pemilik premis tiada kesedaran mengenai bahaya yang boleh berlaku sekiranya berlaku pencemaran silang terhadap produk makanan mereka.
“Dalam kes-kes tertentu, pencemaran silang ke atas makanan boleh mengakibatkan kematian pengguna dan disebabkan itu pihak kami sentiasa meningkatkan pemantauan untuk memastikan pemilik premis sentiasa patuh pada peraturan,” katanya.
Dari segi denda, jelas beliau, sepanjang tahun lalu, keseluruhan kompaun yang dikeluarkan pihaknya hasil serbuan adalah kira-kira RM193,375.
Katanya, jumlah itu susut mendadak berbanding pada 2020 iaitu kira-kira RM995,000 dan bagi 2019 (RM908,237) disebabkan pandemik Covid-19 dan berlaku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana banyak premis-premis makanan ditutup.
“Namun kita tetap menjalankan tugas memantau serta menyerbu premis-premis yang di dalam risikan kita yang didapati mengabaikan kebersihan dan melanggar peraturan makanan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Wazir berkata, tahun ini pihaknya menyasarkan mengadakan serbuan sekali bagi setiap minggu ke atas premis-premis yang didapati tidak mematuhi peraturan melibatkan kebersihan makanan.
“Pasukan kami mempunyai unit risikan dan unit ini akan bergerak terlebih dahulu untuk meninjau premis dan selepas itu pasukan kami akan menjalankan serbuan ke atas premis-premis ini,” katanya. – UTUSAN