SUNGAI PETANI: Lebih 12 petani di Kampung Jelatang, Gurun di sini kehilangan mata pencarian selepas kawasan kebun milik mereka ditenggelami air didakwa akibat kerja-kerja menambak tanah untuk pembinaan rumah sejak dua bulan lalu.
Dakwa petani itu, kerja-kerja penambakan dipercayai dilakukan pemilik tanah yang baru membeli tanah di kawasan tersebut sehingga menyebabkan anak sungai tertimbus.
Keadaan itu dikatakan mengakibatkan aliran anak sungai tersekat seterusnya air melimpah ke dalam kebun mereka.
Sebahagian sayur dapat diselamatkan manakala terdapat tanaman rosak dengan anggaran kerugian kira-kira RM1,500 bagi setiap pekebun.
Petani, Abd. Aziz Mat Isa, 41, berkata, dia kehilangan mata pencarian kira-kira RM3,000 sebulan selepas tanah kebunnya seluas satu hektar tidak dapat diusahakan kerana ditenggelami air.
“Mata pencarian saya terjejas kerana tanaman kacang panjang, bendi dan cili tidak dapat diusahakan berikutan tapak pertanian dipenuhi air.
“Keadaan ini tidak pernah berlaku sejak saya mengusahakan tanaman kontan di sini lebih 20 tahun lalu,” katanya semasa ditemui di sini semalam.
Seorang petani, Ahmad Said, 63, berkata, dia tidak menghalang pemilik tanah menambak tanahnya untuk apa sahaja tujuan, namun ia perlu mengambil kira kesan yang dihadapi pekebun lain apabila anak sungai merentasi tanahnya turut ditambak.
“Sepatutnya dia bertimbang rasa kerana anak sungai itu merupakan laluan air dan apabila ditutup tentu air akan melimpah memasuki kebun kami.
“Jika sekarang bukan musim hujan pun air melimpah kerana laluannya tersekat, bagaimana pula jika musim hujan kelak? soalnya tidak berpuas hati dengan tindakan pemilik tanah itu.
Tambahnya, dia dan beberapa pekebun pernah bertemu dengan pemilik tanah itu untuk berbincang tetapi lelaki terbabit enggan mengorek semula anak sungai yang ditimbusnya.
Seorang pemilik kebun buah-buahan dan tanaman kontan, Faridah Ramli, 60, berkata, dia kesal kerana apabila sebahagian tanamannya di kawasan seluas hampir satu hektar terjejas.
“Selain tanaman kontan seperti sayur-sayuran, pokok buah-buahan saya seperti dokong, durian dan pisang juga hampir mati.
“Keadaan ini menyebabkan saya kehilangan mata pencarian sebanyak RM3,000 sebulan selain terjejas usaha menyara tiga anak,” katanya yang berkebun sejak lebih 15 tahun lalu. –UTUSAN