1,148 premis jual kit ujian pantas diperiksa - Utusan Malaysia

1,148 premis jual kit ujian pantas diperiksa

PENGUAT KUASA KPDNHEP Melaka melakukan pemeriksaan harga dan bekalan RTK antigen Covid-19 di sebuah farmasi di Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka memberi jaminan bekalan kit ujian pantas (RTK) antigen Covid-19 adalah mencukupi untuk kegunaan rakyat negeri ini.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, permintaan terhadap RTK meningkat secara mendadak selepas kes positif Covid-19 menunjukkan trend menaik yang menimbulkan kerisauan rakyat.

Katanya, RTK berfungsi sebagai langkah awal mencegah varian Omicron yang semakin merebak dalam kalangan masyarakat ketika ini.

“Bagi tempoh September 2021 sehingga Januari tahun ini, sebanyak 1,148 premis menjual kit ujian pantas telah diperiksa dan tiada aduan diterima berkaitan bekalan mahupun harga jualan melebihi harga kawalan.

“Rata-rata peniaga di Melaka menjual kit ujian pantas di bawah harga siling yang ditetapkan kerajaan iaitu RM19.90 seunit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes positif Covid-19 terus meningkat apabila mencatatkan 22,133 kes baharu setakat tengah hari semalam, menjadikan kumulatif di Malaysia ketika ini sebanyak 3,083,683 kes.

Melaka pula merekodkan 546 kes baharu iaitu membabitkan 532 kes tempatan dan 14 kes import.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Norena berkata, KPDNHEP Melaka memeriksa 6,203 premis perniagaan meliputi semua lapisan perniagaan iaitu peruncit, pemborong dan pengilang atau peladang bagi tempoh 1 Januari hingga 14 Februari lepas.

Menurutnya, pihaknya telah menerima 91 aduan rasmi yang secara amnya berkaitan harga.

“Sehingga semalam, terdapat 75 kes melibatkan nilai rampasan berjumlah RM1,080 yang terdiri daripada semua akta undang-undang yang dikuatkuasakan KPDNHEP. Sebanyak RM12,100 kompaun dan RM90,000 denda telah dikeluarkan meliputi semua kesalahan yang telah diambil tindakan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya