10 tahun bina masjid, Aeril titip dedikasi buat Wawa - Utusan Malaysia

10 tahun bina masjid, Aeril titip dedikasi buat Wawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan usahawan, Aeril Zafrel mencoretkan dedikasi teristimewa buat isteri tercinta yang juga pelakon, Wawa Zainal sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-10.

Pelakon filem 7 Petala Cinta itu memuat naik beberapa gambar romantis bersama isteri kesayangannya di Instagram.

“Entah bagaimana harus dikatakan tentang hari ini…Saat kita memilih dua jiwa menjadi satu. Satu hati. Satu cinta. Satu cita-cita. Satu harapan.

“Dan satu tujuan bersama ke syurga di sana negara abadi. Terima kasih sayang kerana bila berani untuk bersama itu, bermakna dirimu mengerti perjalanan yang bakal kita tempuh bukanlah mudah dipermulaannya.

“Kerana pernah getir dan sesekali pasti jua dilambung ombak, dipukul badai ujian. Kita berjaya melewati dan mengharungi semuanya dengan pertolongan Allah jua,” tulisnya.

Mengulas lanjut, Aeril turut menzahirkan penghargaan buat Wawa atas segala detik yang telah dikecapi selama sedekad mereka bersama.

“Tuhan hadiahkan kita kebahagiaan dengan terus bersimpuh kasih padaNya. Barangkali kerana titis air matamu dan doa rintihanmu yang paling tulus lalu dikurniakan kekuatan jiwa, akal serta buah fikir pada dirimu agar titipan rahmatya berpanjangan.

“Hingga kita mengecapi manisnya cinta yang halal dalam redaNya sehingga saat ini. Terima kasih segalanya sayang. Sungguh, kau satu-satunya tempat jatuhnya cinta yang paling bening. Segenap keluh resahku, kau jadi perlabuhan kedamaian.

“Ketika sakit duka bertandang, kaulah jadi penawarnya. Bila akal dan semangatku mulai tumpul, kaulah yang jadi penajamnya. Terima kasih sayang untuk semuanya. kutulis ini kerana hari ini ulang tahun pernikahan kita yang ke -10,” ujarnya panjang.

Dalam pada itu, Aeril memohon orang ramai agar mendoakan yang baik-baik buat mereka berdua.

Menjengah di entri Instagram Wawa, pelakon filem Sabda Kekasih itu juga ada menitipkan dedikasi ringkas buat suami tercintanya.

“Selamat ulang tahun perkahwinan ke 10 tahun. Sedar tidak sedar, sudah 10 tahun bersama @aeril_zafrel.

“Doakan semoga #tilljannah ya semua,” coretnya ringkas di Instagram.

Sekadar informasi, pasangan merpati dua sejoli itu mendirikan rumah tangga pada tahun 2012 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya