LIPIS: Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, menahan lapan lelaki bersama dua wanita berusia antara 37 tahun hingga 53 tahun kerana bermain judi menggunakan buah ‘Pai Kaw’ sempena Op Dadu Khas Tahun Baharu Cina di Kampung Baru Jerkoh, Benta dekat sini, hari ini.
Dalam serbuan pukul 12.50 pagi hari ini, kesemua 10 suspek disyaki sedang leka bermain judi buah Pai Kaw mengelilingi sebuah meja kayu empat segi di sebuah rumah di kampung tersebut.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, pegawai polis yang bertugas ketika serbuan itu memperkenal diri dengan menunjukkan kad kuasa kepada kesemua suspek dan kemudian meminta mereka mengeluarkan kad pengenalan diri untuk diperiksa.
“Kesemua suspek tidak menyedari kehadiran polis di belakang rumah yang tidak berpagar itu kerana mereka leka bermain judi buah Pai Kaw di samping menyangka pihak berkuasa tidak akan bertindak sempena perayaan ini.
“Polis membuat pemeriksaan serta merampas 32 buah Pai Kaw, buah dadu (tiga), satu chip merah jambu serta wang tunai terletak di atas meja kayu empat segi yang dikelilingi 10 suspek tersebut serta kemudiannya ditahan untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azli, suspek juga gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), penjarakan fizikal dan telah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dan Kesalahan Dibawah Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (PPDPPB) 1988 (Akta 342 ) dan dibawa balik ke IPD Lipis untuk tindakan lanjut.
Azli selanjutnya berkata, sempena Op Dadu Khas atau Ops Tahun Baharu Cina dan juga termasuk bukan musim perayaan, polis akan terus membuat penugasan membanteras kegiatan judi di daerah ini dan tindakan tegas berasaskan undang-undang akan dikenakan. – UTUSAN ONLINE