MELAKA: Zoo Melaka dipilih sebagai zoo perintis bagi menjayakan konservasi hidupan liar melalui pembiakan baka, membanteras pemburu haram dan penyelidikan.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, fokus awal untuk membiakkan spesies Harimau Malaya yang diancam kepupusan berikutan habitatnya semakin mengecil dan ancaman pemburu haram.
Menurut beliau, Perhilitan dan Zoo Melaka mempunyai perjanjian bersama untuk membiakkan spesies berkenaan sebelum dilepaskan semula ke habitat asal.
“Anak Harimau Malaya yang lahir akan diberikan latihan untuk tempoh dua hingga tiga tahun sebelum dilepaskan ke hutan. Program latihan untuk anak harimau akan dijalankan di Pusat Konservasi Harimau Kebangsaan (NTCC) Lanchang di Pahang.
“Populasi Harimau Malaya di habitat liar kini di bawah 200 ekor dan lebih 60 ekor ada di zoo seluruh negara. Justeru kerjasama ini penting untuk meningkatkan kembali populasi spesies berkenaan untuk tatapan generasi akan datang.
“Kita mungkin akan kehilangan spesies ini dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang jika tiada tindakan d sekarang,” katanya pada sidang akhbar majlis menandatangani perjanjian persepahaman (MoU) antara Perhilitan dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di sini hari ini.
Hadir sama Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman.
Sementara itu, Shadan berkata, kerjasama dua hala itu dapat membantu memperkasakan Zoo Melaka terutamanya dalam aspek pertambahan stok hidupan liar yang dipamerkan.
Katanya, penempatan haiwan-haiwan yang jarang dilihat umum atau hampir pupus akan menarik lebih ramai kehadiran pengunjung ke Zoo Melaka.
“Zoo Melaka bukan sekadar tempat untuk meraih keuntungan tetapi juga sebagai tempat konservasi dan pendidikan untuk anak-anak. Pihak Zoo Melaka akan berbincang dengan Perhilitan bagi menentukan haiwan apa yang boleh ditempatkan di zoo ini,” katanya.
Untuk rekod, Zoo Melaka mencatatkan kehadiran 290,000 pengunjung pada tahun lalu.- UTUSAN