PETALING JAYA: Aliran trafik di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dari Kuala Lumpur menghala Karak sesak susulan pertambahan kenderaan sejak pagi tadi.
“Trafik sesak bermula dari Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sehingga ke Tol Plaza Gombak menghala ke Kuantan di Kilometer 22.3, dari Tol Plaza Gombak hingga Kilometer 43.1 menghala Kuantan (Gombak-Bukit Tinggi),” kata kenyataan LPT di Facebook, hari ini.
Pengendali LPT sebelum ini memaklumkan, berikutan peningkatan aliran trafik buat masa ini, pengguna laluan Lebuh Raya KL-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) diingatkan untuk rujuk semula Jadual Cadangan Perjalanan (TTA) menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
Dalam pada itu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan, aliran trafik arah Utara dari Tapah menghala Gopeng turut sesak susulan kemalangan melibatkan sebuah treler, pagi tadi.
“Status terkini kemalangan di Kilometer 302.4 arah Utara dari Tapah ke Gopeng di lorong kanan masih terhalang. Trafik sesak. Pandu berhati-hati,” jelas PLUS. – UTUSAN