TAMPIN: Tiga jalan di daerah ini ditutup untuk semua jenis kenderaan bagi kedua-dua arah buat susulan kejadian banjir sejak awal pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin, Suhaiza Sharudin berkata, berdasarkan maklumat dikongsikan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Tampin, jalan terbabit penutupan ialah Jalan FT001 Gemas-Tampin di jambatan Sungai Gemencheh.
“Pengguna jalan raya dari Gemas akan dilencongkan melalui jalan negeri iaitu Gemas-Kampung Londah- Jalan Felda Jelai-Felda Bukit Rokan Utara FT1279-Jalan Dangi-Gemencheh-Tampin.
“Dua lagi laluan ialah Jalan Gemas-Tampin dekat dengan simpang Kem Syed Sirajudin yang ditutup dari kedua-dua arah dan Jalan Negeri Felda Jelai 2 – Pasir Besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.- UTUSAN