IPOH: Seramai 23 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah sempena sambutan ambang Tahun Baharu 2022 malam tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mereka yang ditahan berusia 17 hingga 46 tahun kerana dipercayai terlibat dalam kesalahan jenayah dan narkotik.
“Hasil operasi yang dijalankan di seluruh negeri, seramai 3,637 individu diperiksa dengan 15 orang ditangkap atas kesalahan narkotik manakala lapan lagi kesalahan jenayah.
“Melalui operasi sama, pihak polis turut mengeluarkan 274 saman bagi pelbagai kesalahan trafik selepas memeriksa 2,983 kenderaan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi 12 jam bermula pukul 4 petang semalam disertai 876 pegawai dan anggota polis dengan dibantu 20 pegawai daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).. – UTUSAN