Sewa kedai RM500, peniaga Batu Buruk terhimpit - Utusan Malaysia

Sewa kedai RM500, peniaga Batu Buruk terhimpit

PENIAGA di Medan Selera Batu Buruk 3 di sini termenung memikirkan nasib perniagaannya akibat kadar sewaan premis yang tinggi di samping kurang pelanggan di Kuala Terengganu, hari ini. - PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kadar sewa premis yang mahal  menyebabkan kira-kira  14 peniaga di Medan Selera Batu Buruk 3 di sini makin terhimpit untuk meneruskan perniagaan masing-masing. 

Mereka merayu agar sewa bulanan RM500 itu dikurangkan kepada sekurang-kurangnya antara RM200 hingga RM250. 

Difahamkan, daripada 18 lot gerai makan di medan selera itu, hanya 14 peniaga masih meneruskan perniagaan ketika ini disebabkan kekangan kewangan. 

Naib Pengerusi Persatuan Peniaga Medan Selera Batu Buruk 3, Raja Nazri Raja Sapie, 40, berkata, jualan di medan selera kini merosot hingga 80 peratus kerana kekurangan pelanggan akibat penularan Covid-19. 

Menurut beliau, keadaan itu sekali gus menyebabkan peniaga terbeban untuk membayar sewa bulanan, malah ada di antaranya yang turut menerima notis amaran mengunci premis atau menamatkan sewaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT). 

“Ada peniaga yang tertunggak hingga RM7,000, dan dalam keadaan ekonomi tidak stabil ini kami buntu untuk cari duit,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Sementara itu, seorang peniaga kuih, Rozlinda Yusof, 46, berkata, pengunjung mulai menjauhi premis berkenaan kerana kedudukannya yang tersorok dari laluan utama di samping faktor caj parkir. 

Katanya, ketika ini hampir 90 peratus pelanggan adalah kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), namun pembukaan dua kafeteria di dalam hospital menjejaskan perniagaan mereka. 

“Ada peniaga yang terpaksa bergolok-bergadai untuk membayar gaji pekerja, bil elektrik dan air di samping sewa gerai,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya