Seludup ketum makin menjadi-jadi - Utusan Malaysia

Seludup ketum makin menjadi-jadi

MOHD ZAWAWI ABDULLAH (dua dari kanan) menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam sidang akhbar di Maritim Malaysia, Zon Kuala Perlis, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Aktiviti penyeludupan daun ketum di perairan negeri ini dan Kedah semakin menjadi-jadi apabila dalam tempoh tidak sampai sebulan sebanyak 7.3 tan metrik daun ketum dengan anggaran nRM1.3 juta dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Peningkatan rampasan itu didorong  permintaan tinggi dari Thailand yang membenarkan penggunaan daun tersebut sejak tahun lalu selain harga pasaran meningkat kepada RM180 sekilogram di negara jiran.

Malah, kebenaran rentas negeri sejak tahun lalu juga menyebabkan penyeludup lebih mudah bergerak dengan kenderaan membawa masuk bahan terlarang itu sebelum diseludup ke Thailand melalui perairan negara.

Sabtu lalu, Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis sekali lagi mengagalkan cubaan menyeludup keluar daun ketum seberat 2.3 tan metrik ke negara jiran di kedudukan 1.5 batu nautika barat pantai Sungai Padang di sini kira-kira pukul 7.55 pagi.

Pengarah Maritim Malaysia Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, pasukan operasi khas telah mengesan pergerakan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang sedang bergerak keluar dari Kuala Kedah menuju ke arah sempadan Thailand pukul 7.45 pagi.

Jelasnya, bot Maritim Malaysia kemudian memintas dan menyerbu bot yang dinaiki dua suspek tersebut.

Katanya, bagaimanapun dua individu berkenaan menukar haluan dengan berpatah balik ke arah pesisir pantai dan terjun meninggalkan bot serta muatan bagi melarikan diri dengan berenang ke darat.

“Namun, usaha kedua-dua suspek lelaki warga tempatan berumur 25 dan 40 tahun itu gagal selepas mereka berjaya ditahan anggota penguat kuasa ketika cuba melarikan diri.

“Pemeriksaan ke atas bot tersebut menemukan plastik kanvas berwarna biru menutupi 230 bungkusan plastik hitam yang disyaki daun ketum dengan anggaran berat lebih kurang 2.3 tan metrik bernilai RM414,000 berada dalam petak simpanan ikan.

“Pemeriksaan lanjut turut membawa kepada penemuan beg kecil mengandungi dua paket kecil plastik berwarna putih disyaki pil kuda sebanyak 100 biji, syabu seberat 1.72 gram dan tiga paket kecil plastik berwarna putih disyaki heroin seberat 1.47 gram berada di atas tempat kemudi bot,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Mohd Zawawi, nilai keseluruhan rampasan termasuk daun ketum, dadah, bot fiber dan enjin sangkut dianggarkan berjumlah RM537,305.60.

 Katanya, suspek serta kesemua barangan rampasan termasuk bot dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya