PUTRAJAYA: Pengoperasian institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi sesi persekolahan penggal 3, 2021/2022 di negeri Kelantan dan Sarawak tetap pada 9 dan 10 Januari ini.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, walaupun kedua-dua negeri itu beralih ke fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Isnin ini, pengoperasian sekolah adalah serentak di seluruh negara.
Katanya, ia berdasarkan ketetapan yang dibuat menerusi kenyataan media KPM semalam.
“Sepertimana yang diumumkan KPM dalam kenyataan media tersebut, ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi sesi persekolahan penggal 3, 2021/2022 adalah melibatkan seluruh negara, termasuklah di Kelantan dan Sarawak.
“Oleh demikian, pengoperasian institusi pendidikan akan bermula pada 9 Januari bagi Kelantan dan 10 Januari bagi Sarawak,” katanya hari ini.
Menurut KPM, ketetapan itu dibuat setelah mengambil kira kesediaan institusi pendidikan di Kelantan dan Sarawak untuk memulakan pengoperasian mengikut tarikh pembukaan sekolah tersebut.
Jelas kenyataan itu, bagi institusi pendidikan di dua negeri itu yang terlibat banjir atau dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), KPM akan mengeluarkan maklumat lanjut mengenai pengoperasian institusi terlibat Isnin ini.
“Ia setelah mengambil kira kesediaan untuk beroperasi. KPM juga menyarankan ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri,” katanya.- UTUSAN