PADAWAN: Sarawak yang terkenal dengan warisan keringkam dan songket merupakan satu pelestarian tradisi masyarakat Melayu di negeri itu.
Justeru bagi melahirkan lebih bakat dalam tenunan keringkam dan songket, kerajaan Sarawak komited menjalinkan strategik di bawah Projek Warisan Old Kuching Smart Heritage (Okshe) Bersama Penjara Puncak Borneo.
Menerusi satu kenyataan media dalam Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak dan Jabatan Penjara Malaysia hari ini, usaha jalinan strategik tersebut diharap dapat melahirkan lebih ramai penenun yang berkemahiran tinggi dalam menghasilkan kain songket Sarawak.
“Malah, ia juga dapat melahirkan penghuni penjara yang mahir dan bersijil dalam bidang tenunan sekali gus memartabatkan tenunan asli Sarawak ke persada dunia melalui pengeluaran produk berskala besar, penjenamaan, pembungkusan dan pemasaran yang efektif,” katanya.
Tambahnya lagi, kerjasama itu juga diharap dapat membentuk kerjasama yang pintar antara pengeluar, penyelidik, pemasar dan agensi kerajaan dalam menggalakkan industri tenunan songket.
“Kerajaan Negeri Sarawak melalui Okshe dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dalam projek ini akan membangunkan Bengkel Songket yang baharu di kawasan seluas sehektar di Penjara Puncak Borneo di bawah pelaksanaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak,” ujarnya.
Dengan kapasiti 100 rumah tenun di bengkel tenun baharu ini dapat menghasilkan keluaran songket yang banyak serta berkualiti dan memberi peluang kepada penghuni penjara untuk mengaplikasikan kemahiran serta menjana pendapatan sendiri selepas menjalani penahanan dan pemulihan di Penjara Puncak Borneo.
“Agensi yang turut sama dalam projek ini adalah Centexs Commercial Services Sdn. Bhd. (CCS) yang akan mengkomersialkan dan mempromosikan produk-produk songket Sarapride di Galeri Songket dan Keringkam di Jalan Masjid.
“Selain itu, pihak CCS akan mengembangkan penjualan melalui platform digital,” katanya.
Turut hadir pada majlis menandatangani MoA) tersebut ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Prestasi Transformasi dan Penyampaian Perkhidmatan) Datuk Dr Sabariah Putit menandatangani untuk Kerajaan Negeri Sarawak dan Komisioner Jeneral Penjara, Jabatan Penjara Malaysia yang mewakili Kerajaan Persekutuan Datuk Nordin Muhamad, dengan disaksikan oleh penaung Projek Inovasi Warisan Sarawak: Songket dan Keringkam Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Bengkel tenun Sarapride yang pertama di Penjara Puncak Borneo telah mempunyai 26 rumah tenun dan seramai 38 penenun telah menghasilkan 226 tenun songket sepanjang bengkel tersebut beroperasi pada tahun 2020 dengan kerjasama kerajaan negeri melalui Okshe dan agensi lain seperti Centre of Technical Excellence Sarawak (Centexs), Centexs Commercial Services Sdn. Bhd., Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan komuniti songket Sarawak. -UTUSAN ONLINE