PUTRAJAYA: Wajib mendapatkan pengesahan vaksinasi jemaah sebelum menerima bayaran pakej perkhidmatan umrah atau ziarah.
Itu antara cadangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bagi penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) ibadah umrah sedia ada untuk dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
MOTAC menerusi kenyataan memaklumkan, SOP itu disesuaikan dengan keperluan semasa dalam menangani ancaman penularan Covid-19 ketika ini.
Menurutnya, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan persatuan-persatuan agensi pelancongan mengenai SOP baharu itu.
“Cadangan lain termasuk menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel yang dikenal pasti Nadma apabila pulang ke Malaysia,” katanya.
Katanya, pengumuman penangguhan ibadah umrah bermula 8 Januari lalu menjejaskan perancangan penggiat industri, namun mereka menyatakan komitmen untuk terus berjuang meskipun terpaksa mengalami kerugian.
Justeru, MOTAC berusaha mencari penyelesaian terbaik demi meringankan impak terhadap syarikat pengendali umrah di bawah kementerian itu yang terkesan dengan penangguhan tersebut.
Katanya, cabaran besar dihadapi penggiat industri merangkumi empat perkara iaitu visa umrah, pengangkutan jemaah di lapangan, tempahan penginapan dan makanan jemaah yang tidak dapat ditebus semula. – UTUSAN