PETALING JAYA: Tindakan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memansuhkan penggunaan kad Touch `n Go (TnG) dan SmartTAG di plaza tol bagi menggalakkan masyarakat beralih ke teknologi Radio Frequency Identification (RFID) mengundang kecaman netizen.
Masyarakat yang meluahkan perasaan berang kerana berasa seolah-olah dipaksa menggunakan sistem RFID, bertindak menyerang halaman akaun media sosial PLUS sehingga pengendali lebuh raya berkenaan menutup ruangan komen.
Menurut mereka, pemansuhan sistem RFID dan SmartTAG tidak sepatutnya dilakukan kerana sistem RFID masih tidak sempurna dan hanya menyebabkan lebih banyak kesesakan berlaku di PLUS.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, transaksi tol menggunakan teknologi RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Januari lalu.
Sementara itu, semasa tinjauan dalam pelbagai laman sosial, rata-rata netizen mendesak PLUS memberi hak mereka sebagai pengguna untuk memilih sistem yang ingin digunakan kerana masyarakat masih membayar walaupun menggunakan sistem berbeza.
“Jangan paksa guna RFID, kekalkan TnG dan biar rakyat yang putuskan nak guna yang mana. Saya ada tiga SmartTAG letak dekat setiap kereta, saya tak perlukan RFID ia merupakan satu pembaziran kepada rakyat. Baiklah jual SmartTag murah dan tambah lagi lorongnya,” ciap AhmadTakuya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Twitter meminta PLUS membuang palang di plaza tol jika ingin terus menggunakan sistem RFID
“Tak nak lorong RFID sesak? Senang je. Buang palang. Nak buat RFID tapi nak letak palang. Bila sistem kau tak berfungsi, yang susah orang ramai, rugi masa, rugi tenaga. Yang tak rugi, kau,” ciap A_HxrrxzThe1st. – UTUSAN ONLINE