JOHOR BAHRU: Johor tidak sanggup menunggu lagi setahun sehingga tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) wajib diadakan disebabkan hendak menyelamatkan ekonomi negeri itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, perangkaan terkini menunjukkan dari segi kemasukan pelaburan tempatan, Johor pada kedudukan keenam berbanding kedua atau tiga sebelum ini.
Menurut beliau, kemasukan pelaburan luar negara juga menurun dengan Johor berada pada nombor kelapan berbanding negeri-negeri lain, padahal ia terletak berjiran dengan Singapura yang menerima banyak pelabur dari Hong Kong.
“Kalau Johor tak buat sesuatu, kita akan slide (gelongsor) jauh lebih rendah. Hakikatnya tak ada siapa boleh nafikan adalah kerajaan Johor tidak stabil dengan hanya satu kerusi majoriti. Ini fakta, tak boleh siapa nak nafikan.
“Maknanya kalau tempoh kerajaan yang ada itu lama, jadi dasar itu boleh bertahan lama. Ini adalah prasyarat kepada usaha nak menarik ataupun nak mengekalkan pelabur-pelabur yang ada dalam negara kita,” katanya ditemui di Saujana Kediaman Rasmi Menteri Besar di Johor Bahru baru-baru ini.
Sabtu lepas, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani dokumen watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang menyaksikan PRN akan diadakan selepas Sabah, Melaka dan Sarawak.
Hasni berkata, banyak perancangan pembangunan ekonomi yang mahu dilaksanakannya setelah melihat kesan Covid-19 dan penutupan sempadan apabila sektor-sektor yang menjadi penyumbang besar kepada ekonomi Johor seperti hartanah dan pelancongan terjejas.
Menurut beliau, pihaknya ada menerima permintaan untuk berjumpa dan berbincang daripada pelabur yang meyakinkannya bahawa Johor memang menjadi pilihan atau pertimbangan pelabur.
“Tetapi mereka menimbang sahajalah, walaupun dia tak cakap secara langsung, tetapi saya boleh faham body language (bahasa badan) mereka.
“Kebimbangan dia bahawa kau ini setahun lagi (menjadi Menteri Besar), (jadi) kenapa harus saya berpegang kepada janji dan jaminan kamu,” katanya.
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyaksikan Barisan Nasional (BN) Johor memiliki 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan dua dari MIC.
Tiga hari selepas itu iaitu pada 12 Mei 2018, tiga ADUN UMNO terdiri daripada Rasman Ithnain (Sedili), Rosleli Jahari (Johor Lama) dan Alwiyah Talib (Endau) melompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pola pengundian bagi kerusi Parlimen dan DUN di Johor pada PRU14 menunjukkan PH menang dengan majoriti yang meningkat di kawasan bandar dan separa bandar serta kawasan campuran dan majoriti pengundinya kaum Cina.
BN/UMNO pula menang di kawasan luar bandar majoriti Melayu. Dari segi sokongan mengikut kaum, majoriti pengundi Cina dan India mengundi calon- calon daripada PH/PKR .
Sementara undi Melayu pula berpecah kepada tiga segmen iaitu BN, Pas dan PH, sekali gus menjadikan PH berjaya mendapat undi secara keseluruhan lebih tinggi berbanding BN dan Pas.- UTUSAN
Wawancara penuh di muka 14 dan 15.