MARAN: Polis sedang mengenal pasti identiti mayat seorang lelaki Melayu yang ditemukan orang ramai di Sungai Jempol, Felda Jengka 4 dekat sini pukul 2.43 petang hari ini.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Norzamri Abd. Rahman berkata, setakat ini pihak polis belum menerima sebarang laporan kehilangan ahli keluarga.
“Sehubungan itu, mana-mana keluarga yang kehilangan ahli keluarga diminta segera membuat laporan dan membuat pengecaman mayat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jengka, Penolong Penguasa Bomba Raja Mohd. Arif Raja Shamsudin berkata, enam anggota diketuai pegawai operasi, Nor Dzaini Zin menemui mayat seorang lelaki terapung di sungai.
Menurut beliau, mayat yang dijumpai orang awam dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari lalu.
“Anggota bomba melakukan operasi mengangkat mayat dan selepas itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Felda Jengka, Wan Mustaffa Roni Wan Hayat,74, berkata, mangsa dipercayai bukan penduduk dari tanah rancangan berkenaan.
Menurutnya, kemungkinan mangsa dari kampung lain di ulu Sungai Jempol seperti Kampung Jara, Kuala Sentol dan lain-lain kampung yang menjaring ikan semasa banjir. – UTUSAN