PETALING JAYA: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara besar-besaran seperti sebelum ini tidak akan dilaksanakan semula walaupun masih lagi berdepan situasi penularan Covid-19 termasuk varian Omicron.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagaimanapun tidak menolak kemungkinan mengambil langkah lebih ketat termasuk menyekat pergerakan keluar dan masuk daripada lebih banyak negara.
Katanya, langkah tersebut akan dibuat sekiranya ada negara didapati berisiko dan mencatatkan peningkatan kes yang tinggi.
“Ia dibuat dengan mengambil kira pembentangan dilakukan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang menyatakan sebanyak 245 kes Omicron disahkan di Malaysia. Lebih-lebih lagi sebahagian besar kes jangkitan daripada varian itu masih lagi berpunca daripada kepulangan pengembara dari luar negara.
“Namun apa yang penting pendekatan melaksanakan PKP secara besar-besaran seperti sebelum ini tidak akan dilaksanakan semula. Ini ke arah usaha kita bersiap sedia untuk masuk ke fasa transisi endemik yang sepatutnya diumumkan awal tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat ke-11 Menteri Kuartet Covid-19, hari ini.
Terdahulu, Hishamuddin mengadakan Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 bersama Khairy; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri. M. Saravanan; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Nor Hisham Abdullah.
Mengulas laporan mengenai varian baharu Deltacron, Hishammuddin berkata, masih terlalu awal untuk membuat rumusan mengenai penemuan varian tersebut.
Buat masa ini, katanya, varian Omicron dilihat tidak memberi kesan begitu serius kepada kesihatan individu tetapi menular dengan dahsyat.
“Kita lihat jangkitan sehingga 100,000 di negara-negara Eropah dan 500,000 di Amerika Syarikat.
“Kita banyak bersandarkan daripada laporan Kementerian Kesihatan tentang kesan kepada sistem kesihatan kita, asalkan tidak membawa tekanan kepada hospital dan unit rawatan rapi (ICU), saya rasa tak membimbangkan.
“Namun, kita banyak bergantung kepada apa yang dinasihatkan dan apa yang dipantau Kementerian Kesihatan,” jelas beliau.