ALOR SETAR: Seramai 50 pesawah di Mukim Tok Keling di sini mendakwa sering mengalami kerugian apabila sawah yang diusahakan ditenggelami banjir terutamanya selepas kerja-kerja menabur benih padi.
Antara kawasan yang menghadapi masalah itu ialah Kampung Kelompong, Tok Keling dan Kandai di sini.
Pesawah terbabit mendakwa masalah tersebut berlaku berikutan sistem pengairan di kawasan seluas 25 hektar itu tidak berfungsi dengan baik.
Menurut Mutalib Bashah, 70, dari Kampung Kelompong berkata, masalah tersebut didakwa telah berlarutan kira-kira 20 tahun lalu tanpa dapat diselesaikan oleh pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) .
Menurutnya, pesawah terlibat terpaksa beberapa kali menabur benih padi
serta membajak selepas sawah mereka ditenggelami air terutamanya pada tanaman padi musim kedua.
Katanya, masalah itu didakwa berpunca daripada pam air Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dari Mukim Alor Gunung terletak di kedudukan yang tinggi sehingga menyukarkan kerja mengempam air.
“Semasa kerja mengepam air dilakukan untuk kawasan sawah di Anak Bukit pintu utama air di Ampang Jajar ditutup hingga air di kawasan Mukim Tok Keling ini melimpah kerana tidak dapat mengalir ke luar .
“‘Masalah tersebut menyebabkan air bertakung di kawasan sawah yang lebih rendah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mutalib memberitahu, masalah tersebut sudah dimaklumkan kepada pihak MADA sebelum ini tetapi tiada tindakan dilakukan hingga pesawah terpaksa menyewa kepada pesawah luar bagi mengelak kerugian.
Malah, tambahnya, masalah sistem pengairan itu juga menyebabkan pokok padi yang sudah boleh dituai rebah kerana air melimpah masuk ke dalam sawah.
Rosli Othman, 51, pula berkata, kebanyakkan kawasan sawah di kawasan itu rendah dan memerlukan pemantauan yang lebih daripada MADA.
Katanya, petani di sini tidak lagi boleh mengikut jadual tanaman padi yang ditetapkan oleh MADA kerana masalah pengairan tersebut.
“Kawasan sawah di sini pelik, ketika pesawah di kawasan lain memerlukan air ketika kemarau ini, kami di sini pula air melimpah hingga menenggelamkan anak padi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Mohd. Fuad Yaacob berkata, pihak MADA juga perlu meningkatkan kerja-kerja pembersihan saliran untuk melancarkan sistem pengairan.
“MADA sepatutnya membersihkan saliran sebanyak empat kali setahun berbanding dua kali setahun pada masa ini. -UTUSAN ONLINE