PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan 2.2 peratus bersamaan 57 kes daripada 2,641 kes positif harian Covid-19, hari ini yang melibatkan kategori tiga, empat dan lima.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bakinya 2,584 kes iaitu 97.8 peratus lagi adalah mereka dalam kategori satu dan dua.
Menurut beliau, kes positif menunjukkan penurunan berbanding semalam, 2,888 kes sekali gus diatasi kes sembuh yang mencatatkan 2,808 kes.
“Pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) mencatatkan peningkatan apabila merekodkan 253 kes berbanding semalam, 248 kes.
“Namun, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan menurun kepada 106 kes berbanding semalam, 117 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, empat kluster baharu dicatatkan yang menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik ialah 6,163 kluster.
“Sebanyak 169 kluster aktif direkodkan yang terus menunjukkan penurunan berbanding semalam, 172 kluster.
“Jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 5,994 kluster berbanding semalam, 5,987 kluster,” katanya. – UTUSAN