Pengemis Rohingya mungkin didalangi sindiket - Utusan Malaysia

Pengemis Rohingya mungkin didalangi sindiket

RAZARUDIN Husain (tengah) menyaksikan Kamarul Zaman Mamat (kiri) menyerahkan dokumen serah terima tugas kepada Wan Hassan Wan Ahmad di IPK Kedah, Alor Setar hari ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis tidak menolak kemungkinan terdapat sindiket mendalangi etnik Rohingya yang menjalankan kegiatan mengemis di jalanan di sekitar Kuala Lumpur dan beberapa bandar di negeri-negeri lain.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, pada masa ini polis sedang menjalankan siasatan dan mengumpul maklumat mengenai kegiatan tersebut.

“Ada kemungkinan (wujud sindiket) tetapi saya tidak boleh (mengesahkan) perkara itu sehingga kita buat tangkapan atau siasatan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian  selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Pada majlis itu, Razarudin menyaksikan bekas Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat menyerahkan dokumen serah terima tugas kepada Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad.

Wan Hassan, 55, sebelum ini Timbalan Pengarah (Integriti), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Razarudin memberitahu, pihaknya telah mengarahkan ibu pejabat polis kontinjen dan daerah memantau secara lebih serius kegiatan mengemis dalam kalangan etnik Rohingya.

Jelasnya, kebanyakan kegiatan tersebut kebanyakannya  dikesan di jalan-jalan sesak di bandar-bandar besar.

“Kalau ada mungkin di Kuala Lumpur dan juga di Negeri Sembilan dan kawasan yang sesak di lampu isyarat,” ujarnya.

Selain itu, tambahnya,  polis juga mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas etnik Rohingya yang didapati mengemis di jalanan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) dan Akta Kesalahan Kecil.

“Sebenarnya kita boleh mengambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan kerana mengganggu (lalu lintas) dan kita juga boleh ambil tindakan di bawah  kesalahan kecil.

“Undang-undang di Malaysia ini bukan sahaja tertakluk kepada warganegara Malaysia sahaja, ia juga tertakluk kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan jenayah,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya