ALOR SETAR: Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pelbagai bantuan untuk mangsa banjir di seluruh negara semalam.
Walaupun bantuan-bantuan kepada mangsa banjir diumumkan, namun Pemuda UMNO mendapati cadangan pengeluaran i-Citra RM10,000 masih hangat diperkatakan oleh rakyat, pada hari pertama tahun baharu ini.
Pengarah Komunikasi, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, beliau melihat permintaan ini dari awalnya bukan hanya terhad kepada mangsa banjir sahaja, bahkan dituntut sebelum musibah banjir lagi.
“Desakan ini kerana kami menyedari ramai yang terkesan akibat pandemik luar biasa Covid-19 dan kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh berpanjangan, sekali gus mengakibatkan ramai hilang punca pendapatan, terbelenggu dengan hutang dan komitmen tertunggak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada 31 Disember lalu, Ismail Sabri memberitahu, bantuan pemberian tunai kepada mangsa banjir oleh kerajaan setakat ini secara keseluruhannya boleh mencecah sehingga RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah.
Malah, katanya, bagi mereka yang mengalami kemusnahan rumah sama sekali, jumlah bantuan adalah jauh lebih tinggi dan boleh mencecah sebanyak RM61,000.
Syed Mohd. Johan Rizal menambah, ramai yang percaya Ismail Saberi mengikut telunjuk parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila beliau tidak meluluskan cadangan pengeluaran i-Citra tersebut.
“Dalam diam, kami melihat, Bersatu menggunakan peluang ini untuk menghentam beliau dan UMNO, sebaliknya mereka cuba menaikkan imej (bekas Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya berani mengarahkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membuat beberapa pengeluaran simpanan rakyat sebelum ini,” ujarnya.
Beliau berkata, sebenarnya tuntutan pengeluaran ini telah lama dibuat malahan sebelum Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri lagi.
“Cuma musibah banjir di beberapa negeri baru-baru ini menjadikan tuntutan ini lebih relevan. Saya difahamkan bahawa cadangan ini telah pun dibawa ke pengetahuan Jemaah Menteri oleh Ismail Sabri, namun ianya telah ditolak oleh Menteri Kewangan bersama beberapa menteri daripada Bersatu termasuk beberapa Menteri UMNO yang ‘mesra PPBM’.
“Secara tidak langsung, Bersatu dilihat ‘berjaya’ mensabotaj kedudukan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan Naib Presiden UMNO,” ujarnya.
Menurutnya, pada hemat beliau, kerajaan sepatutnya mempercayai rakyatnya sendiri bagaimana mereka mahu membelanjakan simpanan mereka dengan segera meluluskan tuntutan ini atau Bersatu akan terus dilihat boleh melaksanakan dasar ini dan Perdana Menteri daripada UMNO pula akan dianggap tidak berkebolehan untuk melaksanakannya walaupun sebenarnya boleh melaksanakannya.
“Ditegaskan di sini bahawa gesaan berteraskan denyut nadi hidup rakyat ini adalah komitmen jelas Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia untuk warga Malaysia yang masih terjejas hidupnya untuk kembali membina kehidupan mereka, sejajar dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 27 Ogos 2021 yang lalu.
“Ianya bukan sama sekali bermotif politik populis, jauh sekali bersifat menghasut seperti selaran Menteri Kewangan,” katanya. – UTUSAN ONLINE