Pengaruh budaya, Dusun Tatana sambut Tahun Baharu Cina - Utusan Malaysia

Pengaruh budaya, Dusun Tatana sambut Tahun Baharu Cina

KIMSIT bersama isterinya, Dimin membuat persiapan sempena Tahun Baharu Cina di rumah mereka di Kuala Penyu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Perayaan Tahun Baharu Cina begitu sinonim dengan masyarakat Tionghua namun, di Kuala Penyu perayaan itu turut disambut oleh kaum Dusun Tatana.

Kemasukan warga China ke daerah itu pada 1870-an menyebabkan masyarakat Dusun di sini mengamalkan budaya masyarakat Cina tempatan sehingga ke hari ini.

Bukan sekadar memakai baju tradisi Cina, kaum Dusun Tatana turut mengamalkan adat tradisi masyarakat Cina termasuk bersembahyang di tokong kecil yang diletakkan di dalam rumah.

Ketua Masyarakat Cina Kuala Penyu, Kimsit Singang, 65, berkata, mengikut salasiah keluarganya, nenek moyang mereka berasal dari Guangzhou, China.

Namun, pengaruh persekitaran menyebabkan keluarga mereka kini berbangsa Dusun Tatana dan tidak lagi menggunakan nama Cina.

Walau bagaimanapun, perayaan Tahun Baharu Cina dan Chap Goh Mei tetap diraikan sama seperti masyarakat Tionghua yang lain. Adat resam masyarakat Cina seperti bersembahyang di tokong bagi menghormati roh ibu bapa masih diamalkan sehingga sekarang.

“Kebanyakan masyarakat Dusun di sini memang meraikan Tahun Baharu Cina kerana sebelum mempunyai pegangan agama masing-masing, masyarakat di sini terpengaruh dengan budaya Cina yang datang ke daerah ini suatu ketika dahulu,” katanya ketika ditemui semalam.

Ayah kepada tujuh orang anak ini berkata, setiap tahun rumahnya menjadi tumpuan masyarakat untuk bersembahyang dan berkunjung pada hari pertama Tahun Baharu Cina.

Setiap kali Tahun Baharu Cina ratusan ahli keluarga dan penduduk kampung akan berkunjung ke rumah terbuka mereka untuk sama-sama memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina.

Namun, susulan pandemik Covid-19 pada tahun ini, mereka akan menyambutnya secara sederhana mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Untuk upacara sembahyang pada tahun ini, saya akan hadkan bilangan orang yang ingin bersembahyang pada satu-satu masa agar tidak terlalu sesak. Majlis jamun juga akan dihadkan kepada keluarga terdekat sahaja.

“Saya gembira kerana tahun ini semua anak-anak akan pulang kampung. Tahun lepas suasana begitu sunyi kerana mereka tidak dapat balik susulan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Dimin Engsuat, 62, berkata, beliau teruja meraikan Tahun Baharu Cina kali ini kerana selepas hampir dua tahun mereka dapat berkumpul semula dengan anak-anaknya.

Perasaan rindu kepada anak dan cucu yang tidak dapat pulang meraikan Tahun Baharu Cina sejak pandemik melanda akhirnya dapat diubati pada tahun ini.

Sebelum pandemik, beberapa hari sebelum perayaan Tahun Baharu Cina, beliau dan anak-anak mula sibuk menyediakan kuih tinimbu atau kuih kocong serta kuih pinapong (kuih bakul).

“Setiap tahun mereka membuat kira-kira 10 kilogram tinimbu dan juga pinapong. Selain itu, makanan lain juga turut dimasak sendiri untuk dihidangkan kepada tetamu,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya