Penduduk Kota Kuala Muda waspada amaran air pasang besar - Utusan Malaysia

Penduduk Kota Kuala Muda waspada amaran air pasang besar

HASNAH Mohd. Rejab mengemas beberapa barangan penting di tempat tinggi susulan amaran air pasang besar di Kuala Muda, Kota Kuala Muda, Sungai Petani hari ini. - UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Lebih 100 penduduk di pantai Kuala Muda, Kota Kuala Muda dekat sini berjaga-jaga susulan amaran fenomena air pasang besar diramal melanda  Pantai Barat Semenanjung Malaysia bermula kelmarin hingga Rabu ini.

Tinjauan mendapati penduduk sudah menyimpan barangan berharga, dokumen penting dan perkakas elektrik ke tempat selamat.

Seorang penduduk, Hasnah Mohd. Rejab, 57, berkata, dia menyimpan dokumen penting dan barangan elektrik di tempat tinggi selain sedia berpindah jika kawasan rumahnya dinaiki air.

“Meskipun rumah tidak pernah dimasuki air ketika air pasang, namun pengalaman yang dilalui ketika tsunami 17 tahun lalu menyebabkan saya sentiasa berwaspada.

“Kita tidak boleh memandang remeh amaran keselamatan pihak berkuasa kerana bencana alam ini boleh terjadi bila-bila masa sahaja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Hujung Matang, Kota Kuala Muda di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk dari Kampung Paya, Kota Kuala Muda, Mohd. Tarmizi Hassanudin, 50, berkata, kebanyakan penduduk di situ sudah biasa dengan fenomena air pasang besar.

Menurutnya, penduduk telah mengambil iktibar daripada peristiwa tsunami, jadi mereka sudah membuat persiapan awal untuk berdepan dengan situasi air pasang besar.

Katanya, mereka akan meletakkan perkakas elektrik di tempat tinggi dan menyimpan dokumen penting dan barangan berharga mereka di dalam satu bekas yang mudah untuk diselamatkan.

“Kami sudah terbiasa dengan fenomena air pasang ini dan biasanya air tidak akan melimpah ke rumah penduduk sekiranya ia berlaku tanpa ribut dan hujan lebat,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, bacaan paras laut bagi kawasan Kuala Muda masih terkawal.

“Bacaan paras air laut di Kuala Muda hari ini adalah 2.31 meter dan tidak menjejaskan kawasan Kuala Muda,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya