Obor-obor beracun kembali di pantai Terengganu - Utusan Malaysia

Obor-obor beracun kembali di pantai Terengganu

PEGAWAI Perikanan, Hairul Effendy Adzmi menunjukkan obor-obor beracun, Portuguese man o' war yang ditemukan di Pantai Pulau Kerengga di Marang ketika di Pejabat Perikanan Terengganu di Kuala Terengganu hari ini. - PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Hidupan marin beracun, Portuguese man o’ war kembali lagi apabila ditemukan terdampar di sekitar Pantai Kelulut dan Pantai Pulau Kerengga di sini, hari ini. 

 Pengarah Perikanan negeri, Ruzaidi Mamat berkata, empat spesimen obor-obor dikesan di kawasan pantai berkenaan berdasarkan tinjauan  sebentar tadi. 

Menurut beliau, tinjauan masihdijalankan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan masih terdapat lagi spesies sama yang terdampar di lokasi berkenaan. 

“Kali terakhir Portuguese man o’ war atau nama saintifiknya ‘physalia physalis’ dilihat di perairan negeri ini ialah pada Februari 2020 dan kajian merekodkan lebih 1,000 terapung di perairan lautan Hindi. 

“Musim tengkujuh menjadi antara faktor obor-obor terdampar di pantai Terengganu dan spesies ini bergerak secara berkumpulan dengan cara hanyut dibawa arus atau angin,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ruzaidi berkata, purata panjang sulur sesungut Portuguese man o’ war boleh mencapai lebih sembilan meter dan diliputi oleh nematocyst yang dipenuhi racun untuk melumpuhkan di samping membunuh ikan serta makhluk kecil lain. 

Katanya, sengatan obor-obor sangat menyakitkan kepada manusia dan walaupun kes membawa maut jarang berlaku tetapi orang ramai masih perlu berwaspada. 

Malah, menurutnya, obor-obor yang sudah mati dan dihanyutkan ke pantai juga boleh menyebabkan sengatan jika disentuh.

“Pengunjung dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan tidak melakukan aktiviti pantai di kawasan spesies itu ditemukan. 

“Walaupun sudah mati, tetapi bangkainya tidak boleh disentuh kerana masih beracun dan sangat berbahaya. Sesiapa yang terkesan sengatan, segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan,” katanya. 

Pada Mac tahun lalu, obor-obor spesies Velella velella atau ‘by-the wind sailors’ ditemukan terdampar di kawasan Pantai Pandak di Chendering (Kuala Terengganu) di samping Pantai Teluk Ketapang (Kuala Nerus) dan Pantai Rhu Muda (Marang).- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya