LUMUT: Mudah takut dan mudah percaya akibat kurang mendapat maklumat dan kesedaran menjadi punca masih ramai individu di Perak terpedaya dan menjadi mangsa penipuan dalam talian melibatkan wang ribuan ringgit.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 2,021 kertas siasatan dibuka melibatkan kerugian hampir RM70 juta milik mangsa termasuk golongan profesional dan pesara.
Menurut beliau, hampir semua mangsa terlibat tidak mempunyai maklumat atau mengetahui modus operandi yang dilakukan oleh ‘scammer’ bagi memperdaya mereka.
Beliau memberitahu, kejadian terbaharu dua hari lalu apabila seorang mangsa kerugian RM174,000 selepas menerima panggilan kononnya daripada syarikat insurans yang mendakwa mangsa membuat tuntutan palsu.
“Ada yang tertipu membeli barang dalam talian, serta terpedaya akibat takut dan menyerahkan wang kepada individu menyamar sebagai pihak berkuasa.
“Ada pula kes berkenalan di laman sosial hingga terpedaya menyerahkan wang selain menyamar sebagai rakan menggunakan profil (gambar kenalan di laman sosial) mahu meminjam wang,” katanya pada Program High Profile Policing (HPP) dan kayuhan komuniti Ketua Polis Perak di Pulau Pangkor di sini, hari ini.
Kayuhan santai sejauh 12 kilometer melibatkan lebih 100 peserta terdiri daripada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan persatuan berbasikal sekitar Manjung.
Menurut Mior Faridalathrash, polis memperhebatkan usaha mengekang jenayah dalam talian selain membanteras kegiatan dadah yang menjadi fokus utama PDRM Perak tahun ini. – UTUSAN