PETALING JAYA: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) kesal dengan tindakan beberapa pemimpin masjid memandikan remaja yang dituduh mencuri dalam palong jenazah di masjid tersebut baru-baru ini.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, walaupun mencuri tidak boleh diterima, namun sebelum menjatuhkan hukuman, pihak-pihak tersebut perlu menyelidiki latar belakang individu yang terlibat perbuatan jenayah itu terlebih dahulu.
Bagaimanapun, menurut beliau, sangat dikesali apabila kepemimpinan masjid berkenaan mengambil tindakan bersifat melampau selain mengaibkan remaja itu dengan menyebar luas apa yang dilakukan.
“Kini selepas maklumat remaja itu terdedah iaitu dia hanya tinggal dengan datuknya yang sakit dan susah jadi kejadian menimpa remaja itu mendapati simpati orang ramai.
“Lebih menyedihkan tindakan terhadap remaja itu dilakukan oleh kepimpinan masjid yang menjadi institusi Islam yang sepatutnya tahu Islam tidak membenarkan hukuman sebegitu diambil.
“Tindakan yang didorong emosi dan kemarahan tidak boleh diterima. Ini tidak menggambarkan sifat Islam yang sebenar dan ia boleh menjadi fitnah kepada Islam itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan, seorang remaja lelaki yang videonya tular gara-gara dimandikan seperti `jenazah’ oleh pengurusan sebuah masjid, dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret kerana cuba mencuri tabung masjid berkenaan.
Majistret Nik Mohd. Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu terhadap Daniel Iskandar, 19, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, Daniel didakwa cuba melakukan curi tabung kepunyaan Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah.
Kesalahan itu dilakukan Masjid Al Islahiah di Kilometer 28 Kuang, Rawang di sini pukul 11.58 malam pada 8 Januari lalu.
Mengulas lanjut, Mohd. Azmi berkata, pihak masjid seharusnya menyerahkan remaja itu kepada pihak berkuasa .
Katanya, sekiranya latar belakang remaja itu diambil kira , masjid sewajarnya mempertimbangkan perkara yang boleh dilakukan untuk mendidik dan membantu remaja itu.
“Kami juga amat kesal kerana peristiwa yang ditular itu kini memberi gambaran tidak baik terhadap institusi masjid, malah terhadap Islam itu sendiri.
“Kami menyeru agar kepimpinan masjid tersebut menilai semula tindakan mereka dan mengambil langkah yang wajar memperbetulkan kesalahan yang dilakukan.
“Kami mengharapkan insiden ini tidak menjadi contoh yang diikuti oleh masjid yang lain. Tindakan yang harus dilakukan ialah serah seseorang pelaku jenayah kepada pihak berkuasa dan ambil langkah perlu untuk memperkemaskan keselamatan,” jelasnya.- UTUSAN