PETALING JAYA: Rapid Rail Sdn. Bhd. memohon maaf atas kelewatan perkhidmatan MRT Laluan Kajang kerana masalah teknikal yang berlaku di Stesen MRT Phileo Damansara.
Menerusi kenyataan Rapid Rail berkata, kejadian tersebut berpunca daripada salah sebuah tren yang bernombor 22 mengalami masalah teknikal ketika menghampiri stesen berkenaan.
“Pihak operasi telah mengaktifkan pelan servis alternatif dengan menggunakan satu landasan antara stesen Phileo Damansara dengan stesen Semantan.
“Pengguna dari arah Kwasa Sentral perlu turun dan mendapatkan tren perantara di Stesen Phileo Damansara ke Stesen Semantan dan seterusnya meneruskan perjalanan seperti biasa,” jelas kenyataan tersebut.
Pengguna dari arah Kajang perlu turun dan mendapatkan tren perantara di stesen Semantan ke stesen Phileo Damansara.
Jelas situasi itu, situasi tersebut menyebabkan pergerakan tren akan menjadi perlahan dan berhenti lebih lama di platform.
“Kerja-kerja mengenal pasti masalah sedang giat dijalankan oleh pasukan teknikal Rapid Rail.
“Fokus pihak operasi adalah untuk memastikan pengguna dapat meneruskan perjalanan ke tempat kerja dengan selamat.
“Pelan servis alternatif akan terus diaktifkan sehingga perkhidmatan kembali normal, “jelasnya. – UTUSAN