Mangsa banjir positif Covid-19 makin bertambah - Utusan Malaysia

Mangsa banjir positif Covid-19 makin bertambah

Sebahagian mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Jimah Lama, Port Dickson baru-baru ini. - UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesan sebanyak 451 kes positif Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir sehingga hari ini dengan pertambahan tujuh kes baharu. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, buat masa ini, sebanyak 15 kes positif Covid-19 di pusat pemindahan sementara (PPS), namun tiada pertambahan kes baharu direkodkan. 

“Malah tiada pertambahan kluster baharu di PPS sekali gus kekal dengan satu kluster.

“Selain itu, sebanyak tujuh kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir iaitu jangkitan saluran pernafasan akut teruk (empat kes/kumulatif 1,189 kes), penyakit kulit (dua kes/kumulatif 525 kes), acute gastroenteritis (satu kes/kumulatif 239 kes), konjunktivitis (tiada kes baharu/kumulatif 16 kes) serta penyakit tangan, kaki dan mulut (tiada kes baharu/kumulatif enam kes),” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Dalam perkembangan melibatkan kes positif harian, Noor Hisham berkata, Malaysia merekodkan sebanyak 1.4 peratus bersamaan 46 kes daripada 3,386 kes harian positif Covid-19 melibatkan kategori tiga, empat dan lima hari ini.

Katanya, baki 3,340 kes bersamaan 98.6 peratus adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

Bagi kes positif, ia menunjukkan penurunan iaitu 3,386 kes berbanding semalam, 3,573 kes sekali gus diatasi pesakit yang sembuh pula, 3,547 kes.

“Pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) mencatatkan 273 kes, manakala jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan pula terus merekodkan 159 kes,” katanya.

Noor Hisham berkata, lima kluster baharu dicatatkan menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda meningkat kepada  6,133 kluster. 

Rekod terbabit adalah setakat pukul 6 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 31,487 kes.

Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak empat daripada 25 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,355 kes.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya