KOTA BHARU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membatalkan waran tangkap terhadap pegawai Jabatan Imigresen yang mendakwa diugut pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes rasuah melibatkan dirinya tahun lalu.
Hakim Zaman Mohd. Noor memutuskan demikian bagi membenarkan permohonan dikemukakan peguam yang mewakili tertuduh supaya waran tangkap dikenakan terhadap anak guamnya itu ditarik balik.
Waran tangkap terhadap Muhammad Zahir Abdullah Shahaimi, 30, sebelum ini dikeluarkan kerana dia didakwa tidak hadir pada perbicaraan di mahkamah yang ditetapkan pada tarikh 11 Januari 2022 (semalam).
Mahkamah hari ini turut menetapkan tarikh baharu untuk perbicaraan kes tertuduh iaitu pada 21 Februari depan selain memerintahkan wang jaminan terhadap tertuduh kekal RM9,000 sebagaimana diputuskan sebelum ini.
Terdahulu, peguamnya, Muhammad Hasif Hasan berkata, Muhammad Zahir tidak dapat hadir pada tarikh perbicaraan semalam di mahkamah, ekoran tidak menerima sebarang notis daripada pihak terbabit.
Muhammad Hasif turut menjelaskan, ketika itu, tertuduh berada di Balai Polis Salak Tinggi di Sepang, Selangor untuk membuat laporan berhubung tindakan pegawai SPRM yang mengugut anak guamnya berhubung pertuduhan rasuah yang dihadapinya.
“Ini merupakan kali pertama anak guam saya tidak hadir dan saya harap mahkamah dapat beri masa dan batalkan waran tangkap memandangkan peguam sebelum ini yang mengendalikan kes ini telah meninggal dunia.
“Anak guam saya juga memohon agar pihak SPRM tidak kacau ganggu dia sehingga kes perbicaraan selesai,” katanya.
Muhammad Hasif turut memohon, sekiranya tarikh perbicaraan ditukar pada tarikh lain, maka permohonan untuk memanggil tertuduh perlu dibuat secara rasmi supaya mahkamah boleh mengeluarkan notis terhadap anak guamnya itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nor Hamizah Ghazali memohon jaminan dinaikkan kepada RM30,000 ekoran tertuduh menimbulkan kesusahan sehingga piha pendakwaan terpaksa mengeluarkan waran tangkap supaya dia hadir di mahkamah pada prosiding hari ini.
Dalam laporan media semalam, seorang pegawai Jabatan Imigresen mendakwa diugut oleh pegawai SPRM berkaitan tiga pertuduhan kes rasuah yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada 1 April 2021 dan memohon dibicarakan bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut.
Lelaki itu mendakwa, selepas peguamnya meninggal dunia, pada 2 Disember dan 3 Januari lalu, beberapa pegawai SPRM memaksa dia mengaku salah dengan menawarkan denda sebanyak RM5,000. – UTUSAN