LKIM agih ikan sejuk beku jika bekalan tidak cukup - Utusan Malaysia

LKIM agih ikan sejuk beku jika bekalan tidak cukup

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersedia mengagihkan ikan sejuk beku di kawasan yang kekurangan bekalan semasa Tahun Baharu Cina minggu depan.

Pengerusinya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, LKIM telah memastikan semua bekalan ikan sejuk beku di setiap persatuan nelayan kawasan (PNK) mencukupi buat masa ini. 

Menurut beliau, menjadi kelaziman bagi setiap PNK mempunyai dan menyimpan bekalan ikan sejuk beku untuk menampung permintaan kawasan masing-masing jika bekalan ikan segar tidak mencukupi. 

“Setiap PNK ada bekalan ikan dan kita akan tengok keperluan di kawasan mana. Sekiranya ada permintaan, kita akan agih bekalan. 

“Bekalan ikan cukup untuk musim perayaan ini,” katanya selepas Majlis Penyampaian Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan  Nelayan dan Bantuan Kotak Makanan MAFI Prihatin Persatuan Nelayan Kawasan (PNL) Matang di Gelanggang Bola Keranjang Pekan Matang di sini hari ini.

Sebelum ini, LKIM memberi jaminan ikan sejuk beku di negara ini mencukupi dan pendaratan ikan bagi pemilik bot nelayan yang tidak terbabit perayaan Tahun Baharu Cina juga masih berlaku tetapi jumlahnya amat kurang. 

Berikutan itu, kerajaan membenarkan kemasukan 20 peratus ikan dari negara luar seperti Pakistan, Indonesia, Bangladesh, India dan sebagainya bagi menampung keperluan semasa.

Sementara itu,  pada majlis tersebut, seramai 76 nelayan menerima Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan iaitu 74 daripada mereka ialah mangsa banjir manakala dua lagi adalah waris yang menerima khairat kematian. 

Syed Abu Hussin berkata, sebanyak RM100, 000 diperuntukkan LKIM melalui skim berkenaan di PNK Matang dalam meringankan beban penerima yang mengalami kemusnahan dan kerosakan harta benda. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN