PORT DICKSON: Gara-gara mabuk seorang lelaki warga India maut ditikam dengan pisau selepas berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan suspek lelaki warga Pakistan di sebuah rumah di Taman Happy Garden, Batu 1, Jalan Pantai di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, pihak polis menerima laporan mengenai satu pergaduhan di rumah tersebut pada pukul 2.30 pagi dan mangsa dilaporkan ditikam serta meninggal dunia di tempat kejadian.
“Bertindak atas maklumat, pada 2.35 pagi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson telah membuat tangkapan terhadap suspek seorang lelaki warga Pakistan berusia 26 tahun di hadapan rumah teres dua tingkat tersebut.
“Siasatan awal pihak polis mendapati, lebih kurang pukul 12.30 tengah malam hari kejadian, mangsa berusia 22 tahun telah menikmati minuman keras di dalam bilik di bahagian atas (bilik suspek),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Aidi Sham, kemudian berlaku pertengkaran mulut sehingga menyebabkan mangsa telah ditikam dengan menggunakan senjata sebilah pisau.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia di bahagian dapur di tingkat bawah rumah itu.
“Pegawai Perubatan Hospital Port Dickson telah hadir dan mangsa disahkan telah meninggal dunia pada pukul 1.50 pagi,” katanya.
Jelas Aidi Sham, suspek warga Pakistan merupakan seorang pekerja am dan teman serumah mangsa yang dikatakan baru sahaja bekerja di Port Dickson setahun yang lalu.
“Mangsa yang berketurunan Punjab dan berasal dari negara India, juga bekerja di tempat yg sama dengan suspek iaitu di kilang penapisan minyak sebagai pekerja am.
“Pihak polis telah merampas pakaian, telefon bimbit dan sebilah pisau berukuran panjang lebih kurang 30 sentimeter kepunyaan suspek yang digunakan untuk menikam mati mangsa,” katanya.
Beliau berkata, dengan penangkapan suspek, pihak polis Port Dickson telah berjaya menyelesaikan kes dalam tempoh kurang 24 jam.
“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 9 Januari depan.
“Semakan mendapati suspek tiada rekod kesalahan lampau dan proses bedah siasat akan dijalankan 10 pagi esok untuk mengenalpasti punca kematian mangsa,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang membawa hukuman mati. -UTUSAN ONLINE