PETALING JAYA – Paras air Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan dan Sungai Serting di Jam, Bera telah melepasi tahap bahaya manakala lima lagi berada pada paras amaran setakat pukul 11 pagi tadi.
Laman web rasmi Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan, paras air Kuala Sungai Chini mencatat 16.25 meter manakala Sungai Serting 32.86m.
Sementara lima lagi sungai yang mencatat paras amaran di Pahang ialah Paya Gintong, Jerantut; Sungai Kundang di Jam, Marang; Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi, Bentong; Sungai Luit di Kampung Subuih, Maran dan Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan.
Laman itu turut melaporkan enam lagi sungai di Pahang mencatat paras berjaga.
Antaranya Sungai Pahang di Water Front, Bera dan Jerantut Feri, Jerantut; Sungai Lepar di Jambatan Gelugur, Kuantan; Jam, Chegar Perah, Lipis dan Sungai Jelai di Jeram Bungor, Lipis serta Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub. – UTUSAN