20 tahun bergelap, penduduk kini nikmati bekalan elektrik dengan sistem solar
PETALING JAYA: Menjalani kehidupan tanpa sumber elektrik di Kampung Berasau bukan satu perkara mudah. Lebih-lebih lagi pada zaman sekarang yang semestinya menjadi sebahagian keperluan penting.
Paling menyedihkan, ketiadaan sumber elektrik di kampung ini sekali gus mendatangkan kesukaran bagi anak-anak yang mahu mengulangkaji pelajaran ketika waktu malam.
Maka, tidak hairanlah penduduk kampung ini amat bergantung harap pada pelita dan lampu suluh diibarat nyawa kedua ekoran ketiadaan sumber tersebut yang dihadapi mereka sejak 20 tahun yang lalu.
Ketua Kampung Berasau, Sari Achu berkata, kehidupan di kampung tersebut tanpa bekalan elektrik bukan sesuatu perkara baharu dilaluinya.
“Saya tinggal di kampung ini sejak kecil sampai sekarang. Dulu, kami diberi pilihan sama ada mahu bekalan elektrik atau air dahulu. Jadi, saya dan penduduk mahukan air bersih dan kemudiannya dapat daripada Syarikat Air Johor (SAJ),” katanya.
Bagaimanapun, Kampung Berasau yang terletak dalam daerah Kluang, Johor kini dilengkapi sistem solar untuk menjana sumber elektrik hasil sumbangan Yayasan Petronas dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Johor dan Yayasan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Menerusi program Sentuhan Harapan MEKAR Johor@Kluang inisiatif solar baru-baru ini, sebanyak 11 rumah, dua rumah adat dan sebuah balai raya telah dilengkapi dengan sistem tenaga solar.
Dalam pada itu, salah seorang penduduk, Wati Ali berkata, ketiadaan sumber elektrik turut memberi kesan kepada kehidupan harian apabila seringkali terpaksa mengeluarkan belanja yang lebih membeli set janakuasa untuk mengecas telefon bimbit dan juga lampu suluh.
“Namun, set janakuasa yang kami beli sering rosak. Rasa tak mampu untuk mengganti yang baru setiap kali ia rosak. Bahan mentah pun kami tak dapat simpan kerana tiada bekalan elektrik untuk peti ais. Jika pergi ke sungai menangkap ikan sekalipun, kami akan salai untuk mengelakkan daripada busuk sebelum diagih-agihkan kepada jiran.
“Sebab itu kami dari semasa ke semasa sentiasa meminta bantuan agar penyambungan bekalan elektrik dapat dilakukan secepat mungkin,” katanya.
Seramai 70 penduduk kampung daripada 17 keluarga mendapat manfaat hasil program Sentuhan Harapan MEKAR Johor@Kluang inisiatif solar bagi membekalkan tenaga elektrik ke kawasan luar bandar menggunakan teknologi solar photovoltaic (PV).
Dalam perkembangan lain, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis berkata, program itu dapat membantu meningkatkan taraf kehidupan dan pertumbuhan ekonomi penduduk kampung yang lebih mampan pada masa akan datang.
Menurutnya, tiga teras utama diberi fokus untuk memastikan impak kepada mereka yang terlibat iaitu pendidikan, kesejahteraan dan pembangunan masyarakat serta alam sekitar bagi menyokong Agenda Kelestarian Petronas. – UTUSAN