JOHOR BAHRU: Kerajaan sedia memberi ruang kepada calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor termasuk daripada parti pembangkang untuk berkempen menerusi pelbagai saluran milik Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, inisiatif itu bertujuan untuk melengkapkan proses demokrasi dengan memberi ruang sama adil kepada semua pihak.
Menurut beliau, tindakan sama turut dilaksanakan dalam PRN Melaka tahun lalu di mana bukan sahaja calon pembangkang, tetapi calon bebas turut diberi ruang.
“Boleh, termasuk juga calon parti pembangkang selagi mana ia tidak disalahgunakan dan atas usaha melengkapkan proses demokrasi menjadikan negara kita mengamalkan demokrasi matang.
“Dalam pilihan raya, semua calon adalah sama. Ketika PRN Melaka lalu, semua calon termasuk bebas bukan sahaja pembangkang turut diberi ruang untuk mereka perkenalkan diri.
“Ini bagi membolehkan rakyat mengenali mereka kerana rakyat berhak tahu siapa calon mereka sebelum membuat keputusan mengikut pilihan sendiri, jadi tidak timbul masalah daripada segi itu,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program temubual bersama radio Johor.fm di pejabat RTM Johor, di sini hari ini.
Tambah Annuar, langkah itu juga selari dengan prosedur operasi standard (SOP) bagi melawan penularan pandemik Covid-19 yang masih wujud dalam negara ketika ini.- UTUSAN