“Kepuasan? Apabila orang suka...” - Ajai - Utusan Malaysia

“Kepuasan? Apabila orang suka…” – Ajai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebenarnya, lama saya merancang untuk bertemu figura ini. Bukan nak korek cerita sensasi atau apa. Namun lebih ingin mengenal secara dekat seorang Mohd. Faizal Maas atau Ajai.

Jadi ceritanya, yang dirancang itu dipermudahkan Tuhan. Pada 23 Disember 2021 tarikh pertemuan kami. Ajai tidak berseorangan, ditemani seseorang. Ada cerita tentang itu. Izinkan saya simpan dahulu.

Saya cukup kagum dengan Ajai. Dia dihormati. Sebelum-sebelum ini, memanglah orang hormat dia. Saya pun juga.

Cuma sebelum ini saya kurang faham, kenapa penghormatan itu diberi terlalu tinggi. Ini, saya mengulas dalam kalangan orang seni.

Bila berjumpa dan bertukar-tukar cerita, fahamlah kenapa. Ajai bukan sekadar penyanyi, penulis lirik, komposer dan jurutera bunyi. Dia orang berilmu. Bijak pandai dan berkredibiliti.

Saya pasti, dalam kalangan 29.91 juta rakyat Malaysia, mesti ramai menghargai kebolehan dan bakatnya.

Cuma, sekarang dia sudah jarang ke depan sebagai penyanyi. Kalau ada pun, lapan tahun dahulu tak silap saya.

Saya tanyakan kepada anak kelahiran Johor ini. Tidakkah dia ingin kembali menyanyi, keluarkan album? Tentu ramai merindui. Lebih-lebih lagi peminat yang selama ini menanti.

“Belum ada kesempatan. Sekarang pula lebih tertumpu kepada konsert bersama Exist. Itu terpaling saya rindukan.

“Saya sudah puas. Berduet, menyanyi, terlalu puas. Bila buat lagu, saya nyanyi sendiri demonya. Hampir setiap hari.

“Populariti jatuh nombor dua. Sebenarnya, keinginan saya bukan terletak pada nyanyian. Ada cerita kenapa saya jadi seorang penyanyi,” kata Ajai.

Tegas Ajai, dia memilih untuk berkhidmat kepada industri. Lebih-lebih lagi berkaitan perkongsian ilmu. Itu nombor satu dan lebih penting dari segalanya.

“Saya berkhidmat. Saya suka kongsi perkara yang saya tahu. Dunia muzik tidak perlu ada persaingan. Jadi, saya tidak melakukannya untuk meraih anugerah.

“Kepuasan? Apabila orang suka dengan apa yang saya lakukan. Selagi saya berkarya dengan lagu, itulah nyanyian saya,” ujarnya.

Kata Ajai, dia seorang yang teliti tentang kerja. Saya tanyakan, sejauh mana? Katanya mendalam.

Saya sifatkannya sebagai seorang yang mementingkan kesempurnaan. Sebab itu, hasil kerjanya berkualiti.

Artis berlumba-lumba dapatkan seorang Ajai untuk lagu dan khidmat nasihat. Sebutkan nama? Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Ziana Zain? Semua ingin bekerjasama.

“Saya sudah lama merancang, tak mahu berterusan dengan kumpulan.

“Sebab itu, saya dengan Exist cuma lapan hingga 10 tahun sahaja.

“Saya tahu, saya suka buat lagu. Saya ada ilmu dalam muzik. Tetapi, saya juga perlu dalami kejuruteraan bunyi, baru boleh buat lagu. Jadi saya belajar. Sebelum layakkan diri dipanggil sebagai penerbit,” katanya lagi.

Setiap permulaan ada pengakhiran. Begitu juga dengan kehidupan. Saya bertanya kepada Ajai, wujudkah titik noktah dalam kehidupannya sebagai anak seni, satu masa nanti?

“Saya tidak pernah memikirkan tentang itu. Selagi bernyawa saya berkarya sahajalah. Saya pun tidak pernah mengejar kedudukan. Satu, dua ataupun tiga. Tidak sama sekali.

“Setiap yang hidup akan mati. Tidak kisah lah pada usia berapa sekali pun.Tetapi, apabila umur hampir menjangkau 50 ini, persediaan saya kena seimbang. Agama dan kerjaya.

“Itu sahaja yang saya harapkan. Itulah penutup saya. Bukan nak kisah, orang hargai atau pun tidak. Sedekahkan Al-Fatihah, itu lebih baik. Saya tidak berharap orang hargai kerja seni setelah saya tiada nanti,” kongsinya.

Tak perlu pertontonkan kebahagiaan

Jarang sekali kita mendengar Ajai membuka mulut tentang hal peribadi. Apatah lagi kisah kebahagiaan bersama isteri, Norliza Illias.

Sedar atau tidak, perkahwinan mereka sudah pun menjangkau usia 12 tahun. Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dianugerahkan seorang cahaya mata yang dinamakan Danisha.

Daripada pengamatan saya, Ajai bahagia di samping isterinya yang mesra saya sapa sebagai ‘Kak Liza’. Itu jelas kelihatan. Kak Liza juga seorang yang sangat menyayangi dan mengambil berat.

Kata Ajai, kebahagiaan tidak perlu dipertontonkan. Biar disimpan. Itu juga satu prinsip yang dipegangnya sebagai seorang yang beragama Islam.

“Hal rumah tangga perkara peribadi. Buat apa kita nak menguar-uarkan kebahagiaan keluarga. Dalam Islam pun tidak menggalakkan perkara itu dipertontonkan.

“Saya seorang Islam. Walaupun tak pakai serban, saya Islam. Kan bagus kita tak tayang. Biar begitu. Lebih eksklusif.

“Saya tidak akan pertontonkan. Carilah dalam Instagram saya sekali pun. Tak ada benda-benda itu. Itu bagi saya Islamik,” katanya.

Bercerita lanjut tentang rumah tangga, Ajai berkata, pengalaman lalu banyak mengajar dirinya. Lebih-lebih lagi soal menjaga kebahagiaan dalam berumah tangga.

“Saya belajar daripada kesilapan lalu. Yang ketika itu terlalu memperlihatkan hubungan suami isteri di mata umum.

“Tapi, itulah. Kalau tak ada jodoh, tak adalah. Jadi hubungan tak perlu dipertontonkan kepada orang. Lebih elok disembunyikan,” tegasnya.

Jentikan hati di usia 40

Usia 40 tahun adalah terlalu signifikan dan bermakna buat permata seni ini. Kerana di usia itulah, Allah SWT menjentik hatinya untuk kembali mendekat fitrah.

Itu diakui sendiri insan istimewa ini. Ajai tidak menafikan, dia dulunya juga seperti kebanyakan hamba Allah, terlalu seronok menikmati hidup dalam dunia yang penuh tipu daya.

“Orang putih kata Your Life Start At 40. Tetapi sebagai seorang yang beragama Islam, pada pandangan saya, pada usia-usia di penghujung ini, Allah nak bagi kita ingat Dia. Atau Dia biarkan kita terus leka dengan dunia.

“Saya amat bernasib baik. Dia beri saya peluang untuk ingat Dia. Alhamdulillah, di usia 40 tahun,” terangnya.

Kata Ajai lagi, dia kini cukup tenang. Tidak mengejar dunia apatah lagi penghargaan manusia lain. Katanya, yang penting, doa. Dalami dengan sebaik-baiknya.

“Benda ini sebenarnya tak perlu saya ceritakan. Tapi awak tanya, saya kongsi. Doa penting untuk saya. Itu komunikasi dengan Tuhan. Kalau saya berdoa, cukup lama.

“Bila umur-umur begini, bagi saya itu penting. Ini membuatkan saya berfikir. Yang tak patut dan mendatangkan dosa, tak perlu buat. Dahulu, kita muda remaja. Jalani fasa kehidupan gelap. Itu saya mengaku.

“Tapi di usia 40, saya diberi jentikan hati. Itulah pencapaian teragung yang saya kecapi kini,” kongsinya tersenyum.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya