JITRA: Kek pencuci mulut berasal dari Jepun dikenali sebagai ‘titisan hujan’ antara menu terbaharu yang semakin popular dan menjadi viral di negara ini.
Kesempatan itu diambil seorang peniaga kek, Norhafiza Mohamad Rejab, 35, dari Taman Sri Kemuning, di sini untuk menjual kek unik persis air hujan yang nama asalnya, Mizu Shingen Mochi sejak sebulan lalu.
Katanya, dia yang berniaga pelbagai jenis kek secara dalam talian sejak enam tahun lalu, mula belajar membuat kek titisan hujan itu melalui YouTube apabila mendapati juadah pencuci mulut berkenaan bakal mencetuskan fenomena di pasaran.
“Di Jepun, kek tersebut asalnya menggunakan ramuan daripada air mineral dan agar-agar serta sangat baik untuk mereka yang menjaga kesihatan kerana tidak mempunyai kalori.
“Bagaimanapun, saya mengadun kek tersebut dengan resipi sendiri menggunakan jeli dan air, selain dihiasi air gula Melaka serta kacang tumbuk serta strawberi supaya lebih manis bagi memenuhi selera tempatan,” katanya ketika ditemui di Taman Sri Kemuning, semalam.
Norhafiza memberitahu, dia menjual kira-kira 5,000 biji kek titisan hujan sejak sebulan lalu dan semakin mendapat sambutan menggalakkan.
Katanya, harga sebiji kek titisan hujan yang dihiasi air gula Melaka dan kacang tumbuk dijual pada harga RM5 manakala strawberi pula RM7.
“Saya menyasarkan jualan kek titisan hujan ini sebanyak 10,000 sebiji sebulan selepas ini,” ujarnya.
Selain itu, katanya, pada peringkat awal, dia menjual kek pencuci mulut itu secara dalam talian sahaja.
Bagaimanapun, katanya, dia kemudian menyediakan meja makan di luar rumahnya untuk memberi peluang kepada peminat kek tersebut menikmati juadah istimewa itu.
Orang ramai yang ingin membuat tempahan kek titisan hujan boleh menghubungi Norhafiza di talian 012-5787087 atau melayari Facebook, Ieja Mohamad Rejab (ieja rejab). – UTUSAN ONLINE