KOTA TINGGI: Sebuah kapal tangki yang berdaftar dari Malabo ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas bersauh secara haram di perairan Johor timur, semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal berkenaan ditahan di kedudukan 8.4 batu nautika timur laut Tanjung Penawar pada pukul 10.55 pagi.
Katanya, siasatan mendapati kapal tangki tanpa muatan sepanjang 39 meter itu dikendalikan oleh enam kru warga Indonesia.
“Kesemua kru berumur antara 25 hingga 58 tahun dan mempunyai pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan terhadap dokumen kapal mendapati, nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.
“Susulan itu nakhoda kapal telah dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.
Jelas beliau, Maritim Malaysia Negeri Johor mengingatkan bahawa tindakan penguatkuasaan yang tegas akan dipergiat bagi membanteras kapal-kapal yang berlabuh secara haram di perairan negeri Johor.- UTUSAN