Isu KWSP disuara segera kepada kerajaan  - Utusan Malaysia

Isu KWSP disuara segera kepada kerajaan 

kwsp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kesan sampingan dos ketiga vaksin Covid-19 antara masalah yang akan dibangkitkan UMNO kepada kerajaan dengan segera.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau memahami tujuan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencari UMNO sebagai saluran menyuarakan keluhan kerana disebabkan persepsi Perdana Menteri daripada UMNO dan parti kerajaan yang mendukung segala-galanya.

Beliau menjelaskan, kemungkinan NGO-NGO terlibat telah putus harapan terhadap saluran sedia ada sehingga mencari saluran politik untuk suara rakyat didengari. 

“Saya mengalu-alukan kehadiran NGO terbabit dan bagi saya, kerajaan harus mendengar pandangan-pandangan NGO ini. Jangan menolak terus kerana pasti ada asas tentang keprihatinan mereka membawa suara rakyat suara keramat. 

“Dengar, berbincang dan lakukan yang terbaik untuk rakyat, bukan menyanggah dan kemudian mengeluarkan arahan berbeza-beza.

“Saya dan rakan-rakan kepimpinan UMNO akan membawa perkara diketengahkan NGO terbabit secepat mungkin kepada kerajaan. Ini bukan mainan politik kerana dalam keadaan apa sekali pun UMNO akan tetap mengutamakan dan memihak kepada rakyat,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

AHMAD ZAHID HAMIDI

Terdahulu, Ahmad Zahid memaklumkan beliau dikunjungi ketua dan wakil NGO termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang menyuarakan kebimbangan, keresahan dan kerisauan tentang beberapa isu yang sedang dihadapi rakyat.

Katanya, antaranya berhubung pengeluaran wang KWSP bagi membantu masyarakat yang masih berdepan dengan tekanan ekonomi.

“Mereka turut menyuarakan tentang isu kesan sampingan dos ketiga vaksin Covid-19 yang rata-rata penerima mengalaminya. Begitu juga dengan kewajaran pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

“Turut dibangkitkan tentang pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Ini satu pindaan untuk menaikkan nilai kompaun sehingga RM10,000 yang dikhuatiri akan menambah penderitaan rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya