Isu Azam Baki: SPRM tidak boleh siasat SPRM - Utusan Malaysia

Isu Azam Baki: SPRM tidak boleh siasat SPRM

AZAM BAKI pada sidang akhbar di Putrajaya baru-baru ini. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Adalah tidak wajar sekiranya siasatan isu pemilikan sejumlah saham terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dilakukan agensi tersebut.

Justeru ahli-ahli parlimen PKR menggesa siasatan khas dibuat pihak yang bebas sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau melalui Parlimen.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil  berkata, Azam selaku pemimpin utama badan itu juga sepatutnya direhatkan sehingga selesai siasatan dilakukan ke atas beliau.

“SPRM tidak boleh menyiasat SPRM. Perlu ada pihak yang bebas untuk lakukan siasatan. Sama ada PDRM, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau melalui Parlimen itu sendiri.

“Beliau (Azam) juga tidak layak berkhidmat sebagai Ketua Pesuruhjaya dan patut direhatkan sekurang-kurangnya sejak pertemuan dengan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) untuk memberi penjelasan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu,  beliau membuat laporan polis terhadap Azam di Ibu Pejabat Polis dan Daerah Dang Wangi bersama  Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir; Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr .Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.

Laporan berkenaan meminta pihak PDRM melakukan siasatan berdasarkan sekurang-kurangnya tiga undang-undang membabitkan penjawat awam dan berhubung milikan saham iaitu Seksyen 25 25(a) dan 29 (a) Akta Perindustrian Sekuriti  (Depositori Pusat) 1991, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 tahun 2002 (Pemilikan dan Pengisytiharan Harta Oleh Pegawai Awam) dan Seksyen 10 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam, Kelakuan dan Tatatertib 1993 (Pemunyaan Harta).

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, LPPR tidak boleh berkomplot atau bertindak melulu di sebalik pertikaian kes membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Katanya, LPPR hanya sebuah badan yang berfungsi sebagai penasihat hala tuju SPRM, bukannya membersihkan nama pemimpin yang terpalit dengan salah laku.

Justeru, beliau menggesa PDRM, Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menjalankan tanggungjawab melakukan siasatan penuh terhadap Azam tanpa sebarang desakan atau pengaruh badan eksekutif.

“Wang dalam akaun saham yang dikatakan bukan miliknya menimbulkan keraguan daripada mana datangnya sumber walaupun dikatakan milik adik beliau.

“Malah transaksi tidak jelas perlu diteliti sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang lain yang boleh membawa kepada potensi salah laku  seperti kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” kata beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya