SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini semalam mengetepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 yang dikenakan terhadap seorang remaja, Daniel Iskandar, 19, yang mengaku bersalah cuba mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang pada 9 Januari lalu.
Sebaliknya, tertuduh diperintahkan untuk menjalani khidmat masyarakat di bawah program Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tempoh 120 jam selama enam bulan
Tertuduh perlu menumpukan kepada khidmat masyarakat di masjid-masjid sahaja
Hakim Datuk Abd. Halim Aman dalam semakan kehakiman berkata, perintah itu dibuat selepas meneliti hujah yang disampaikan pihak pendakwaan dan pembelaan serta surat cara serta nota catatan serta keterangan oleh Mahkamah Majistret Selayang.
Kes Daniel mendapat liputan meluas apabila videonya dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap kerana mencuri tabung di sebuah masjid pada 9 Januari tular.
Berdasarkan pertuduhan, Daniel yang tidak bekerja didakwa telah cuba melakukan curi tabung kepunyaan Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung di dalam bilik mandi jenazah.
Kesalahan itu dilakukan Masjid Al Islahiah Kilometer 28 Kuang, Rawang pada pukul 11.58 malam pada 8 Januari lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan di baca bersama Seksyen 511 yang mana hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 9 Januari lalu dan sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda tersebut dia boleh dipenjara selama lima bulan.
Menurut Abd. Halim, mengikut rekod prosiding, mahkamah mendapati tidak terdapat sebarang kecacatan dalam segala prosedur kerana ia dipatuhi sepenuhnya oleh mahkamah majistret namun terdapat kesilapan dalam melaksanakan hukuman.
“Perlu diingat, tujuan hukuman dijatuhkan adalah untuk memberi deteran (penghalang) dan mencegah (prevention) dan ia mengikut 13 faktor iaitu graviti kesalahan, keadaan yang menyebabkan kesalahan dilakukan, kekerapan kesalahan berlaku, tanggungan kepada keluarga, kemampuan, umur, kesihatan, kesalahan pertama, adakah tertuduh berikan kerjasama, pengakuan bersalah tertuduh di awal kes, menggunakan kekerasan dalam kesalahan serta kepentingan awam.
“Faktor yang tidak dipertikai dalam kes ini ialah tertuduh berusia 18 tahun 4 bulan dan bagi pesalah muda, mahkamah perlu berhati-hati kerana hukuman akan memberi kesan kepada masa hadapannya.
“Hukuman yang dijatuhkan (oleh Mahkamah Majistret Selayang) adalah berbentuk keterlaluan dan tidak mencerminkan hukuman pemulihan. Fakta jelas menunjukkan ini kesalahan pertama, dia mengaku bersalah pada awal kes, berasal daripada keluarga susah, tidak berpendidikan tinggi, tinggal dengan datuk yang mempunyai penyakit,” katanya.
Menurut Abd. Halim, mahkamah mengakui mencuri merupakan satu kesalahan namun dalam kes ini, ia bukan satu jenayah yang berat apabila tertuduh hanya melakukan percubaan dan tidak ada apa-apa kerugian terjadi kepada pihak masjid.
“Berdasarkan fakta dan keterangan, apa dilakukan oleh tertuduh adalah dalam keadaan terpaksa dan hukuman yang paling sesuai kepadanya ialah tertuduh diperintahkan untuk menjalani khidmat masyarakat di bawah program Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tempoh 120 jam selama enam bulan,” ujarnya.
Tertuduh perlu menumpukan kepada khidmat masyarakat di masjid-masjid sahaja.
“Mahkamah menyedari akan tempoh penjara yang telah dijalani oleh tertuduh selama 10 hari dan denda RM4,000 yang telah dijelaskan. Namun, demi masa depan tertuduh serta untuk mempunyai rekod kesalahan yang bersih, keputusan ini perlu disampaikan,” tambahnya.
Selain itu, Daniel perlu melapor diri kepada pegawai JKM dalam tempoh tujuh hari dari tarikh semalam dan perlu hadir mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Dia juga dikehendaki mematuhi setiap aktiviti atau prgoram yang ditetapkn dan perintah itu dikeluarkan di bawah Seksyen 293(1)(e) Kanun Acara Jenayah (Akta 593).
Sekiranya dia gagal melaksanakan perintah khidmat masyarakat dalam tempoh ditetapkan atau melanggar perintah, dia boleh dihadapkan semula ke mahkamah dan boleh dihukum mengikut peruntukan asal.
Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat manakala remaja itu diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, Fahmi Abdul Moin, Azman Abdullah dan Ilyani Khszairy.
Turut hadir peguam Haniff Khatri Abdulla, Muhammad Hariz Yusoff, Nur Fatin Syakinah Kamarudin, Ahmad Khalil Md Rofiee dan Muhammad Mustaqim Ahmad Huzaini bagi Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) manakala Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie sebagai peguam pemerhati bagi Masjid Al Islahiah, Kuang, Rawang. – UTUSAN