KANGAR: Harga mempelam harumanis meningkat sehingga RM40 sekilogram ekoran kenaikan input pertanian yang menyebabkan petani tidak mempunyai pilihan menaikkan harga buah itu.
Bagaimanapun kenaikan tersebut disifatkan tidak terlalu ketara berbanding harga pasaran semasa mempelam berkenaan bagi gred premium iaitu sekitar RM35 sekilogram.
Musim harumanis yang cukup dinanti-nantikan para penggemarnya di seluruh negara bakal tiba sekitar April depan sehingga Julai dengan ketika ini pokok mempelam tersebut sudah mula mengeluarkan bunga.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pengusaha Harumanis negeri, Datuk Hashim Suboh berkata, kos penjagaan harumanis bagi ladang komersial diukur mengikut kilogram iaitu sekitar RM12 bagi setiap satu kilogram penghasilan mempelam berkenaan.
Katanya, kenaikan harga input pertanian seperti baja, racun dan penggalak sememangnya diakui memberi kesan namun tidak terlalu ketara iaitu sekitar RM1.50 bagi setiap kilogram.
Saya jangka harga jualan harumanis pada musim ini jika naik sekali pun tidak melebihi RM5 iaitu sekitar RM40 sekilogram berbanding harga pasaran sekitar RM35.
“Itu bagi gred premium membabitkan ladang komersial yang sememangnya memerlukan penjagaan cukup rapi. Kalau ladang biasa atau semi komersial mungkin kenaikan tidak terlalu ketara atau lebih murah lagi.
“Kenaikan input pertanian tersebut terdapat juga kesan namun sekiranya dibahagikan dengan pengeluaran buah dalam unit kilogram, ia tidaklah terlalu ketara kenaikan harga tersebut,” katanya.
Tambah Hashim, ramai yang tidak mengetahui proses penjagaan dan penyelenggaraan pokok harumanis sebenarnya bukan mudah selain menelan kos cukup tinggi bagi menghasilkan buah berkualiti seterusnya menjamin kepuasan para pembeli.
Katanya, harumanis memerlukan penjagaan sepanjang tahun dengan kos ladang bagi sekilogram buah tersebut dianggarkan menelan belanja sekitar RM12.
“Harumanis bukan makanan ruji, setiap musim paling kurang pelanggan beli atau pesan sekitar tiga atau beli empat kali khususnya bagi buah gred premium
“Jadi, soal harga mungkin tidak menjadi persoalan untuk mengeluarkan perbelanjaan lebih setahun sekali bagi menikmati keenakan buah yang menjadi ikon negeri Perlis itu. Malah, apabila kita merasai keenakan harumanis itu sebenarnya hasil daripada penjagaan yang cukup rapi dan teliti,” katanya.
Sementara itu, pengusaha harumanis Abdul Rahman Hussain, 43, berkata, peningkatan harga input pertanian khususnya racun dan baca sememangnya memberi kesan apabila perlu mengeluarkan lebih modal musim ini.
Katanya, sebelum kenaikan harga input pertanian, kos penjagaan harumanis kebunnya di seluas 0.28 hektar membabitkan 65 pokok sekitar RM1,800 namun meningkat antara RM2,500 sehingga RM2,800 musim ini
“Dengan kenaikan input pertanian itu, kita tidak menolak kemungkinan harga mempelam harumanis musim ini juga bakal mengalami kenaikan. Jika tidak pendapatan saya mungkin merosot dari RM8,000 kepada tinggal RM5,000 sahaja pada musim ini,” katanya.
Pendapatan pengusaha merosot 30 peratus
Pendapatan pengusaha harumanis di Perlis musim ini dijangka merosot sehingga 30 peratus berikutan kenaikan harga input pertanian sejak kebelakangan ini.
Lazimnya, hasil jualan mereka bagi satu tan metrik buah berkenaan iaitu kira-kira 3,000 biji boleh mencapai RM18,000, namun mungkin menurun sekitar RM13,000 musim ini selepas mengambil kira kos input pertanian untuk penjagaan pokok mempelam berkenaan.
Antara input pertanian yang naik itu termasuklah baja buah, baja dolomite, racun rumput dan serangga, penggalak serta vitamin yang ada sebahagiannya melibatkan peningkatan sehingga tiga kali ganda.
Sebagai rekod, sebanyak 2,596 pengusaha harumanis di negeri ini membabitkan kawasan seluas 1,687 hektar.
Pengusaha harumanis, Shaharom Saad, 57, yang mengusahakan tanaman di kawasan seluas 0.86 hektar itu berkata, harga racun racun rumput bagi empat liter sebelum ini adalah sekitar RM50 namun meningkat kepada RM98 sekali gus cukup membebankan mereka.
Katanya, racun serangga yang merupakan antara keperluan pengusaha harumanis juga meningkat kepada RM90 seliter berbanding RM30 pada musim lalu.
“Harga baja dan vitamin turut naik pada musim ini antara 20 hingga 50 peratus. Kami jangkakan kos input pertanian sahaja meningkat sekali ganda iaitu kepada RM10,000 berbanding RM5,000 semusim pada tahun lalu, “ ujarnya.
Sementara itu, Mohd Shazwan Shahimi, 32, yang mempunyai 40 pokok harumanis di kebunnya di Timah Tasoh di sini turut berharap agensi berkaitan dapat mengawal peningkatan harga input pertanian tersebut.
3 tan metrik harumanis tahun ini
Jabatan Pertanian negeri menjangkakan pengeluaran harumanis tahun ini sebanyak 2,969 tan metrik iaitu lebih tinggi berbanding tahun lalu 2,527 tan metrik mempelam berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pertanian negeri, Hafizuddin Othman berkata, sasaran awal itu dibuat berdasarkan jumlah pokok matang mampu mengeluarkan hasil yang banyak melibatkan kawasan seluas 1,484 hektar daripada 1,338 hektar musim sebelumnya.
Katanya, keluasan keseluruhan kawasan penanaman mempelam harumanis juga meningkat kepada 1,687 hektar berbanding 1,575 pada 2021.
“Pengeluaran bunga harumanis di seluruh Perlis kini telah mencapai 80 peratus, sekali gus menunjukkan peningkatan peratusan pengeluaran bunga berbanding musim 2021 yang mana pengeluaran bunga hanya 70 peratus sahaja.
Tambah Hafizuddin, ketika ini, para pengusaha juga telah mula membalut buah dan hasilnya dijangka selepas 56 hari.
Justeru katanya, jangkaan buah berkenaan berada di pasaran bermula 25 Mac sehinggalah penghujung Jun.
“Ketika ini, pengusaha mengalami masalah sumber air yang tidak mencukupi untuk menyiram pokok mereka yang telah berbunga kembang bagi meningkatkan kadar kelekatan dan mengelakan putik gugur.
“Pengusaha juga mengalami masalah kenaikan harga input pertanian baja dan racun yang memberi kesan dan menjadikan kos meningkat antara RM2 hingga RM3 bagi sekilogram pengeluaran buah.
Berdasarkan rekod, terdapat sebanyak 2,596 pengusaha harumanis di negeri ini tahun ini sekali gus menyaksikan peningkatan berbanding 2,419 pengusaha pada tahun lalu. -UTUSAN ONLINE