Guru rugi RM22,160 ditipu individu menyamar pegawai LHDN - Utusan Malaysia

Guru rugi RM22,160 ditipu individu menyamar pegawai LHDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Tindakan seorang guru menyerahkan nama pengguna dan kata laluan perbankan miliknya kepada individu menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membawa padah, apabila dia kerugian RM22,160.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, guru lelaki berusia 47 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang individu kononnya dari LHDN yang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan bayaran cukai.

Katanya, mangsa bagaimanapun menafikan dakwaan itu sebelum panggilan tersebut disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu untuk membuat laporan polis.

“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada pihak mahkamah kononnya mangsa terlibat dengan jenayah penggubahan wang haram. 

“Pada hari sama, mangsa juga telah menyerahkan butiran perbankan iaitu nama dan kata laluan miliknya kepada seorang wanita dikenali Jasmine dengan alasan untuk memudahkan seliaan dan pemantauan mahkamah,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa menyedari ditipu setelah wang dalam akaun bank simpanan miliknya dipindahkan secara berperingkat melalui dua transaksi berjumlah RM22,160.

Katanya, mangsa telah membuat satu laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan ke atas penipuan itu semalam. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya