Guna air terawat siram pokok durian beri gangguan tekanan air  - Utusan Malaysia

Guna air terawat siram pokok durian beri gangguan tekanan air 

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor menyampaikan hamper kepada salah seorang warga emas pada majlis penyampaian hamper sempena Tahun Baharu Cina di Alor Setar hari ini. - UTUSAN/ZAID MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri mengesan terdapat aktiviti menyiram pokok durian Musang King dan duri hitam oleh penduduk dengan menggunakan sumber bekalan air terawat pada waktu malam sehingga berlaku tekanan air rendah lebih serius di Sik dekat sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, aktiviti tersebut melibatkan kawasan dusun yang terletak jauh dari sumber air seperti tali air dan sawah padi.

Menurutnya, penduduk tersebut dikesan menyiram pokok durian masing-masing dengan menggunakan air terawat kerana tidak mempunyai pilihan lain pada musim kemarau sekarang.

Malah, katanya, terdapat juga penduduk yang menyimpan air terawat di kawasan dusun durian untuk tujuan menyiram pokok tersebut.

“Lazimnya, kita simpan air untuk diguna sebelah pagi pada waktu malam, pada pukul 1 hingga 6 pagi waktu orang tidur, air akan berkumpul di dalam tangki.

“Kita jumpa satu trend, air menyusut pada waktu itu di mana kita menyimpulkan ada aktiviti penyiraman dan simpan air di dusun untuk siram pokok durian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian hamper sempena Tahun Baharu Cina di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 20 warga emas dan keluarga miskin berketurunan Cina menerima sumbangan tersebut. 

Muhammad Sanusi memberitahu, tindakan penduduk terbabit menyebabkan penduduk yang tinggal di kawasan hujung paip tidak mendapat bekalan air pada waktu siang dan malam.

“Kos air terawat kos tinggi, walaupun dia (penduduk) bayar bil itu tetapi menyebabkan sistem (bekalan air) kita mengalami penurunan tekanan,” ujarnya.

Sehubungan itu, tambahnya, beliau mengharapkan penduduk yang mengusahakan tanaman pokok durian itu mencari alternatif lain untuk menyiram pokok tanpa menggunakan bekalan air terawat.

Pada 21 Januari lalu, Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz berkata, cuaca panas yang melanda Kedah sejak awal tahun ini dijangka berlarutan sehingga hujung Mac atau awal April depan.

Menurutnya, keadaan tersebut berlaku kerana Kedah kini berada di fasa kedua Monsun Timur Laut. -UTUSAN ONLINE 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya